Close

iPhone 12 dilaporkan mempunyai masalah kosmetik cat tertanggal

Jika sebut tentang masalah kosmetik pada iPhone, ia bukan satu isu yang baru kerana masalah ini sudah timbul sejak dari iPhone 6 lagi yang menyebabkan warna pada bingkai badan seakan menggelupas dan cat tertanggal walaupun dijaga dengan baik menggunakan kerangka pelindung (casing).
Hal ini juga pernah dilaporkan pada iPhone 6S dan juga iPhone 7, lebih-lebih lagi warna Matte Black dan Jet Black yang sangat mudah meninggalkan kesan calar yang teruk. Kini terdapat laporan isu kosmetik yang berlaku pada iPhone 12 pula.

Masalah kosmetik ini berlaku pada iPhone 12 yang diletakkan sebagai unit demo di kedai fizikal Apple di China yang menunjukkan cat tertanggal pada bahagian sisi yang mungkin berpunca dari pelanggan yang kerap memegang untuk mencuba iPhone 12 tersebut.
Namun, iPhone 12 masih sangat baru dan tidak sampai sebulan lagi usia. Tak mungkin cat tertanggal dengan begitu cepat? Adakah kualiti cat yang digunakan terlalu rendah atau terdapat kecacatan semasa proses pengeluaran?

Untuk harga yang mencecah RM6,899 ini bukan perkara yang bagus untuk didengar kerana pelanggan mahukan kualiti terbaik untuk pembelian mereka, lebih-lebih lagi dengan harga yang premium. Harap isu kosmetik ini bukan isu yang besar untuk siri iPhone 12 dan mungkin terjadi pada beberapa unit sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN