Close

Mitsubishi Xpander kini rasmi di Malaysia – MPV yang lebih bergaya dengan harga RM91K

Setelah banyak kali mengacah kehadiran MPV terbaru iaitu Mitsubishi Xpander, hari ini Mitsubishi Malaysia telahpun mengumumkan harga jualan rasminya untuk pasaran Malaysia yang hanya terdapat satu varian sahaja dengan harga RM91,369.

Mitsubishi Xpander dilengkapi dengan enjin 1.5L Mivec dengan transmisi automatik 4-kelajuan berkuasa 103 hp @ 6,000 rpm dan tork 141 Nm @ 4,000 rpm. MPV ini juga merupakan versi CKD yang mempunyai rekaan yang bergaya, lebih-lebih pada bahagian hadapan yang digelar sebagai Dynamic Shield Design yang lebih kelihatan segar dan gagah.

Pada bahagian lain, Xpander turut hadir dengan rim dwi-tona 16-inci, lampu utama Bi-LED dan lampu siang (DRL), kabin dalam yang serba luas, 7-kerusi jenis kulit berwarna gelap, ruang storan letak barang yang banyak, penyaman udara untuk penumpang belakang dan juga port USB yang boleh diakses hampir semua bahagian tempat duduk.

Terdapat juga sistem audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang turut menyokongan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Antara ciri keselamatan yang diletakkan pada Xpander adalah seperti dua beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Mula Daki (HSA), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Aktif (ASC), Bantuan Brek (BA), Peringatan Rehat, Sistem Atasi Brek (BOS) dan pelbagai lagi untuk keselamatan pemandu.

Pesaing utama Mitsubishi Xpander di Malaysia sudah tentunya Honda BR-V dan Toyota Rush dengan tawaran harga dan teknologi yang hampir sama untuk kelasnya. Apa pun, pilihan di tangan pengguna dan semestinya Mitsubishi Xpander mempunyai daya tarikan tersendiri, lebih-lebih lagi pada rekaan bahagian hadapan yang garang dan bergaya!

ARTIKEL BERKAITAN