Close

Tiada lagi iPhone ‘MY set’ untuk pasaran Malaysia buat siri iPhone 12

Jika sebut sahaja iPhone ‘MY set’, pastinya kebanyakan pengguna sedia maklum bahawa ia adalah model iPhone yang memang dikhaskan buat pasaran Malaysia dengan kod model ‘MY’ di nombor siri. Berlainan dengan pasaran Amerika Syarikat dengan kod ‘LL’, Jepun kod ‘J’, Singapura kod ‘ZP’ dan lain-lain lagi.
Setiap negara yang dipasarkan mempunyai kod negara tersendiri menandakan iPhone tersebut dibeli melalui negara tersebut. Perbezaannya tidak banyak, masih mengekalkan komponen yang asli dan menjalankan iOS yang sama. Lanjut tentang perbezaannya boleh baca di pautan ini. 
iPhone MY set dan set lain banyak disalah anggap yang kononnya MY set sahaja yang asli dan set lain tidak asli. Tanggapan itu sememangnya salah. Jika sebelum ini Apple Authorized Reseller (AAR) Malaysia menjual iPhone dengan kod ‘MY’. Tapi, untuk siri iPhone 12 tidak lagi.
Ya, ia mungkin berita kurang baik buat pencinta MY set kerana sebelum ini sudahpun tertiris kotak jualan rasmi iPhone 12 Pro untuk pasaran Malaysia dengan kod model ‘ZP’ iaitu kod yang sama digunakan di negara Singapura. Kotak tersebut mempunyai bahasa Melayu yang sinonim dengan kotak iPhone MY set sebelum ini.
Bukan itu sahaja, terdapat laporan dari pengguna yang sudah menempah iPhone 12 di Senheng (Malaysia) mendedahkan bahawa kod model yang digunakan adalah ‘ZP’, bukan ‘MY’ seperti siri iPhone 11 sebelum ini jika kita membeli di Apple Authorized Reseller (AAR) Malaysia atau telco.
Gambar : Hafiz Fikri
Dengan ini sekaligus telah mengesahkan bahawa siri iPhone 12 tidak lagi menggunakan kod model ‘MY’ dan menggunakan kod model ‘ZP’ yang sama seperti negara Singapura.
Jangan hairan, kerana perkara ini sudah lama berlaku pada iPad yang sejak dahulu lagi memang tidak menggunakan kod model ‘MY’ tapi menggunakan kod ‘ZP’. Yang penting adalah, iPad atau iPhone berikut adalah asli dan waranti dijamin oleh Apple sendiri, bukan hanya lihat pada kod model.
Unboxing iPhone 12 dan iPhone 12 Pro :

ARTIKEL BERKAITAN