Close

Xiaomi Mi MIX Fold rasmi dilancarkan – Peranti boleh lipat pertama dari Xiaomi bersama lensa cecair dengan harga jualan RM6,316

 

Selepas beberapa tahun Mi Mix tidak lagi dihasilkan oleh Xiaomi, kali ini siri Mi Mix membuat penampilan semula dengan menjadi peranti boleh lipat pertama dari Xiaomi dan peranti pertama di dunia yang menggunakan lensa cecair.


MIX Fold menampilkan skrin utama bersaiz 8.01 inci WQHD+ OLED dengan nisbah 4:3, yang turut menyokong kandungan paparan HDR10+, Dolby Vision dan DCI-P3. Apabila MIX Fold dilipat ia membawakan skrin luaran bersaiz 6.52 inci HD+ AMOLED dengan nisbah 27:9 bersama paparan 90Hz turut menyokong kandungan paparan Dolby Vision dan Truecolor.

Dari spesifikasi dalaman, MIX Fold dikuasakan dengan Snapdragon 888, RAM LPDDR5 sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB . Menggunakan bateri 5020mAh dengan teknologi dua sel bateri bersama pengecasan pantas berwayar 67W.


Pada bahagian kamera, MIX Fold menampilkan lensa kamera cecair bersama Image Sensing Processor (ISP) Surge C1. Surge C1 merupakan cip pemproses imej yang dibangunkan sendiri oleh Xioami yang menjalankan algoritma 3A iaitu Auto Focus, Auto Exposure dan Auto White Balance.


MIX Fold hadir dengan tetapan tri-kamera yang boleh berfungsi sebagai kuad-kamera. Sensor utama adalah 108MP, 13MP ultra lebar dan 8MP lensa cecair yang boleh menjalankan dua fungsi iaitu 3x zum dan 30x telefoto. Untuk rakaman video ia menyokong rakaman sehingga 8K 24fps. Turut dimuatkan Kamera swfoto dengan sensor 20MP.


Ciri-ciri lain yang ditawarkan pada MIX Fold seperti empat pembesar suara Harmon Kardon, IR Blaster, Wi-Fi 6, Dual-5G, serta sistem penyejuk Butterfly Cooling System.


MIX Fold hadir dengan dua varian iaitu Standard dan juga Ceramic special edition, harga jualan bagi versi standard di China adalah RMB 9999 (RM6,316) untuk versi 12/256GB, RMB 10,999 (RM6,947) untuk versi 12/512GB dan untuk versi Ceramic adalah RMB 12999 (RM8,210) untuk versi 16/512GB.

Buat masa ini, MIX Fold hanya ditawarkan di pasaran China sahaja.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN