Close

Rumah sentiasa bersih dengan Xiaomi Mi Robot Vacuum-Mop P

 


Reputasi Xiaomi
dalam menawarkan produk dengan harga mampu milik dan berkualiti adalah tidak boleh disangkal lagi. Seiring dengan peredaran masa. trend pengguna AIoT kini semakin meluas dan ia juga boleh mengubah gaya hidup seharian anda.

Bercakap mengenai memudahkan urusan seharian, Xiaomi telah melancarkan satu peranti yang akan membantu menguruskan tugasan rumah dengan lebih mudah dan efisien. Mi Robot Vacuum-Mop P seperti namanya, ia merupakan peranti serbaguna yang dapat melakukan dua tugasan menyapu dan mengemop dalam satu masa. Ia turut hadir dengan ciri pintar untuk menjadikan ia lebih mudah untuk digunakan.

Vacuum-Mop P hadir dengan rekaan yang sangat minimal dengan terdapatnya accent berwarna oren dibahagian penutup atas, menampakkan bekas debu dan air yang mempunyai kemasan yang berkilat. Pada bahagian keliling Vacuum ini ia dilindungi dengan bumper getah lebih-lebih lagi pada bahagian hadapan. Ditawarkan dalam dua pilihan iaitu warna hitam dan putih, jika diberi pilihan secara peribadi warna hitam akan menjadi pilihan kerana tampak lebih kemas dan menarik.

Pada bahagian bawah, terdapatnya berus roller di tengah dan juga berus sisi tunggal, tidak ketinggalan terdapat juga pel kain mop. Secara keseluruhan bahan aksesori yang digunakan pada Vacuum-Mop P adalah berkualiti tinggi dan juga sangat kukuh.

Vacuum-Mop P mempunyai dua belas sensor dengan ketepatan tinggi termasuk sensor LiDAR yang digunakan untuk membuat pemetaan rumah dan menilai semua jenis persekitaran. Dengan adanya sensor dengan ketepatan yang tinggi ia juga membantu dalam menghindari halangan serta melindungi perabot anda.

Vacuum-Mop P  memerlukan sambungan melalui aplikasi Xiaomi Mi Home. Aplikasi yang sangat padat dan mudah untuk digunakan serta mesra pengguna. Dengan beberapa arahan mudah sambungan Vacuum-Mop P kepada telefon pintar berjaya dibuat dengan mudah.

Dengan aplikasi Mi Home mempunyai beberapa tetapan yang boleh membahagikan, menggabungkan dan melabel bilik mengikut kesesuaian pengguna. Ia juga mempunyai pelbagai fungsi lain seperti boleh memilih mod pembersihan, mod kelajuan dan juga tahap aliran air keluar.


Walapun terdapat banyak peranti menawarkan fungsi seakan sama, tetapi dengan Mi Robot Vacuum-Mop P ia boleh melakukan tiga jenis mod dalam satu peranti iaitu vacuum+mop, vacuum sahaja atau Mop sahaja. Kemampuan sedutan sehingga 2100 Pa dengan pilihan mod Silent, Standard, Medium, dan Turbo jika anda memerlukan daya sedutan yang lebih tinggi.

Untuk mengemop, Vacuum-Mop P hadir dengan dua jenis corak mengemop, corak pertama adalah mod S di mana ia bergerak dari satu sudut bilik ke sudut yang lain dalam garis lurus. Sementara mod Y,  bergerak secara bolak-balik dan membuat corak Y  dengan meniru teknik mop secara manual.

Mod S adalah lebih cekap tenaga, tetapi memerlukan lebih sedikit masa serta menggunakan lebih sedikit air, manakala untuk mod Y pula ia sangat sesuai untuk pembersihan yang lebih teliti. Selang selikan mod S dan mod Y untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.

Selain dari membersihkan habuk dan juga kotoran harian, Vacuum-Mop P juga sangat berkesan dalam membersihkan potongan kertas dan juga serpihan makanan. Anda juga boleh membersihkan ruang yang dizonkan atau mengendalikannnya secara manual.

Selepas selesai rutin, ia secara automatik akan pulang ke dok pengecasan dan akan memberitahu melalui notifikasi. Proses pembersihan Vacuum-Mop P adalah sangat mudah, dengan adanya alatan kecil khas  sendiri bagi tujuan pembersih yang seperti sikat di satu hujung dan di satu hujung lagi pisau untuk memotong rambut pada roller.

Secara keseluruhan, Mi Robot Vacuum-Mop P merupakan peranti yang sangat berguna dan wajib ada  didalam rumah anda. Mana tidaknya, dengan hanya satu peranti ia dapat melakukan dua tugasan dalam satu masa. Aplikasi Mi Home juga turut memudahkan anda mengawal dan membuat tetapan rutin yang boleh diubah mengikut kesesuaian.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN