Secara asasnya tiada perubahan ketara yang dibawakan oleh Pixel 5a 5G. Menggunakan reka bentuk unibody aluminium baru dengan warna Mostly Black yang dilihat sedikit kehijau-hijauan. Turut menyokong ketahanan debu dan air IP67 dengan rekaan yang sama dengan Pixel 4a 5G.
Pixel 5a hadir dengan skrin bersaiz 6.34 inci OLED dengan resolusi 2400x1080 yang sedikit lebih besar berbanding Pixel 4a 5G dan hanya menggunakan paparan 60Hz sahaja.
Untuk spesifikasi dalaman, Pixel 5a dijana dengan Snapdragon 765G dipadankan dengan RAM 6GB LPDDR4X dan storan dalam 128GB. Selain dari spesifikasi dalaman yang tidak berubah, kamera juga tidak menerima sebarang peningkatan menggunakan dua kamera belakang dengan kamera utama 12MP dan 16MP ultra lebar sementara kamera swafoto menggunakan sensor 8MP. Sensor Spectrel dan Flicker turut dikeluarkan dari Pixel 5a.
Perbezaan yang mungkin dapat dilihat pada Pixel 4a 5G dan Pixel 5a adalah dari segi kapasiti bateri. Pixel 5a membawakan bateri sebesar 4680mAh sementara Pixel 4a 5G adalah 3885mAh. Tiada pengecasan tanpa wayar dan pengecasan masih menggunakan pengecasan pantas 18W.
Pixel 5a kini sudah boleh di pra tempah di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mulai hari ini di Google Store. Harga jualan bagi pasaran AS adalah $449 (RM1,903) yang akan mula dihantar pada 26 Ogos.