Face ID pada siri iPhone 13 tidak berfungsi jika skrin diganti oleh pihak ketiga - FUZZ.MY

Wednesday, September 29, 2021

Face ID pada siri iPhone 13 tidak berfungsi jika skrin diganti oleh pihak ketiga


Apple baru sahaja melancarkan siri iPhone 13 awal bulan ini, membawakan empat varian iaitu iPhone 13, iPhone 13 Mini, iPhone 13 Pro, dan iPhone 13 Pro Max. Siri iPhone 13 menawarkan beberapa naik taraf dari segi spesifikasi namun mengekalkan reka bentuk yang sama.


Seperti kita tahu Apple sentiasa cuba untuk mengehadkan komponen yang boleh ditukar oleh pihak ketiga. Sebelum ini Apple telah pun mengehadkan penggunaan bateri pihak ketiga pada iPhone dengan memberikan notifikasi amaran bahawa peranti menggunakan bateri yang tidak asli.


Berikutan dari itu, perkara sama akan berlaku pada siri iPhone 13. Yang mana Face ID pada siri iPhone 13 tidak akan berfungsi sekiranya ia digantikan dengan skrin pihak ketiga.


Melalui video yang dimuatnaik oleh saluran Phone Repair Guru, memperlihatkan proses akhir penukaran skrin pada dua buah telefon iPhone 13 dengan skrin asli yang mengakibatkan iPhone tersebut kehilangan fungsi Face ID.


Apple nampaknya semakin memusuhi khidmat baik pulih pihak ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun Apple mempunyai sebab yang tersendiri, secara asasnya Apple ingin menghentikan penggunaan komponen tiruan pada iPhone sekaligus menjamin keselamatan pengguna.


(Sumber)