Close

Snapdragon 8 Gen1 diperkenalkan – Dengan 20% lebih pantas dan 30% penjimatan kuasa


Qualcomm hari ini telah memperkenalkan cip premium mereka yang seterusnya di acara Snapdragon Tech Summit. Secara keseluruhanya, cip terbaru ini membawakan 100% perubahan daripada semua aspek, di reka dengan menggunakan ARMv9 dan turut menggunakan skema nama baharu yang dikenali sebagai Snapdragon 8 Gen 1.

Snapdragon 8 Gen 1 merupakan skema nama baharu yang merujuk kepada digit pertama untuk kelasnya dan Gen pula merujuk kepada generasi. Buat pertama kalinya Qualcomm menggunakan teknologi binaan 4nm pada cipnya sekaligus membawakan penambaikkan secara menyeluruh pada cip tersebut.

Asasnya masih lagi dibina dengan reka bentuk tiga kluster, dengan teras utama ialah Cortex-X2 3.0GHz, seterusnya tiga teras prestasi Cortex-A710 2.5GHz dan empat teras kecekapan A510 1.8GHz. Secara keseluruhan Snapdragon 1 Gen1 adalah 20% lebih pantas dari Snapdragon 888, dengan penjimatan kuasa sehingga 30%.


Beralih kepada prestasi GPU, Adreno generasi baru yang digunakan membawakan peningkatan prestasi sehingga 30% dan penjimatan kuasa sehingga 25%. Untuk memberikan pengalaman bermain lebih baik Qualcomm telah membangunkan tiga ciri Elite Gaming, salah satunya adalah membolehkan pembangun mencapai keseimbangan antara prestasi dan kecekapan kuasa.

Dengan Enjin Adreno Frame Motion, ia membolehkan GPU menghasilkan dua kali ganda frame rate dengan kadar penggunaan kuasa yang sama. Serta mampu untuk mengekalkan FPS yang sama walaupun dengan penggunaan kuasa separuh dari kebiasaan.

Selain dari pembaharuan pada CPU dan GPU, Qualcomm turut membawakan modem X65 5G yang menyokong kedua-dua sub-6 dan mmWave yang boleh mencapai kelajuan sehingga 10 Gbps. Buat pertama kalinya ia turut menyokong carrier aggregation untuk uplink.

Sokongan lain yang dibawakan oleh Snapdragon 8 Gen1 adalah seperti Wi-Fi 6 dan 6E, penambaikkan pada Bluetooth dengan kemampuan Audio Lossless CD melalui Bluetooth LE. Ciri keselematan juga ditambahbaik melalui Trust Management Engine (TME) di bawah hyervisor.

Peranti pertama dengan Snapdragon 8 Gen 1 dijangka akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN