Close

Apple secara rasmi melancarkan program “Self Repair Service” di Amerika Syarikat

Pada tahun lalu Apple telah pun mengumumkan program “Self Service Repair” yang akan menyediakan lebih dari 200 alat ganti Apple tulen dan juga alat pembaikan bagi siri iPhone 12, 13 dan iPhone SE 2022. Progam tersebut kini telah pun dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat.


Melalui program ini, pengguna boleh memesan alat ganti dari Apple Self Service Repair Store dan juga boleh memilih untuk menyewa peralatan untuk membaik pulih dengan harga RM 213 ($49) seminggu. Dengan pilihan menyewa peralatan baik pulih pengguna tidak lagi perlu membeli peralatan khas sendiri untuk baik pulih.

Pada ketika ini Self Service Repair Store mempunyai alat ganti tulen tersedia seperti skrin, bateri, pembesar suara, enjin taptic dan pelbagai alat ganti lain seperti bolt dan skru. Harga alat ganti adalah berbeza mengikut model. Untuk kos penukaran skrin iPhone 13 (termasuk skrin, kit skru, pelekat dan skru keselamatan) adalah berharga RM1,172 ($269). 


Pengguna juga boleh menghantar komponen yang telah rosak dan akan menerima kredit dari pada Self Service Repair Store. Untuk komponen skrin yang dihantar pengguna akan menerima kredit sebanyak RM143 ($33) manakala untuk komponen bateri pula adalah RM104 ($24).

Program ini dilihat lebih terarah kepada individu yang berpengalaman dalam bidang baik pulih peranti elektronik. Apple turut menyatakan secara jelas bahawa program ini tidak akan membatalkan jaminan namun sebarang kerosakkan perkakasan semasa proses baik pulih tidak akan dilindungi.

Selain itu, sesetengah proses baik pulih memerlukan konfigurasi sistem perisian untuk menyelesaikan proses baik pulih. Pengguna perlu menghubungi talian sokongan Self Service Repair Store untuk memulakan konfigurasi sistem perisian sekaligus melengkapkan prosedur baik pulih.

Apple turut menyatakan yang program ini akan meliputi peranti lain seperti Mac dan akan lebih banyak negara menyokong “Self Service Repair Store”.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN