Close

Ulasan Samsung Galaxy S22+ 5G – Rekaan yang sama, tapi lebih berkuasa

Setelah menggunakan Samsung Galaxy S22+ 5G selama sebulan, kami akan kongsikan antara kelebihan dan kekurangannya. Dari segi harga, terdapat 2 pilihan varian iaitu 8GB + 128GB berharga RM4099 dan 8GB + 256GB berharga RM4299.
Pertama sekali, Galaxy S22+ kali ni mempunyai rekaan yang masih sama seperti Galaxy S21+, namun jika anda perhatikan betul-betul, terdapat sedikit perubahan saiz dan kedudukan bonggol kamera. Sejujurnya, kami masih sukakan rekaan sebegini dan berbeza dari kebanyakn rekaan fon Android lain.

Samsung juga turut tawarkan beberapa pilihan warna iaitu Hitam, Putih, Hijau dan juga Merah Jambu. Tiada lagi dwi-tona warna yang berbeza. Penggunaan material juga serba premium, ini kerana Galaxy S22+ menggunakan kerangka jenis ‘Armour Aluminium’ dan panel belakang jenis kaca yang rata kesat.
Nampaknya Samsung Malaysia mendengar permintaan peminat Samsung dengan memberikan cip Qualcom Snapdragon 8 Gen 1 (5G) terbaru, disebalik Exynos 2200. Prestasi yang diberikan pada cip kali ni memang cukup berkuasa untuk menjalankan semua aplikasi yang berat, lebih-lebih lagi permainan mudah alih.

Pada bahagian skrin, Galaxy S22+ menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X yang bersaiz 6.6-inci resolusi FHD+ dengan paparan segar semula 120Hz, ketahanan jenis Gorilla Glass Victus+, menyokong HDR10+ dan kecerahan mencecah 1750 nits.

Tiada banyak yang perlu diperkatakan tentang skrin, kerana skrin Samsung memang yang terbaik dalam semua aspek. Dari segi pencahayaan, warna yang dipaparkan dan kelancaran 120Hz semasa skrin digunakan. Malah, kami lebih rasa selesa dan yakin dengan skrin rata Galaxy S22+.
Kali ni Samsung telah naiktaraf keupayaan pengecasan pantas ke 45W, namun masih tidak dapat palam pengecas dalam kotak jualan. Anda perlu beli secara berasingan. Bateri yang dibekalkan juga cukup besar iaitu 4500mAh yang mampu bertahan dalam masa sehari untuk penggunaa yang biasa.

Terakhir sekali pada bahagian kamera, Galaxy S22+ dilengkapi dengan tri-kamera 50MP f/1.8 utama (OIS), 10MP f/2.4 telefoto (OIS + 3x optikal zum) dan 12MP f/2.2 ultra sudut lebar dengan rakaman video sehingga 8K 24fps. Untuk kamera swafoto, menggunakan 10MP f/2.2 dengan rakaman video 4K 60fps.
Keseluruhan gambar yang diambil dari kamera Galaxy S22+ mampu menghasilkan gambar yang cukup baik dalam kebanyakan situasi, sama ada kamera utama, ultra sudut lebar mahupun potrait. Memberikan potongan bokeh yang cukup bagus. Gambar malam juga turut memberikan kualiti yang baik.

Cuma kadang-kadang, high dynamic range (HDR) terlalu menonjol jika cahaya matahari terlalu terang yang membuatkan gambar terlebih tajam dan warna yang diapaparkan kurang natural, lebih-lebih lagi warna pokok hijau.

Secara keseluruhan dengan Galaxy S22+, kami tidak mahu ulas tentang harga dia yang agak tinggi jika dibandingkan dengan jenama lain, kerana Samsung tetap Samsung.
Tapi Galaxy S22+ memang satu fon kelas andalan (flagship) yang pastinya akan memberikan kepuasan kepada peminat Samsung atau pengguna yang baru sahaja mahu menggunakan fon Samsung dengan paparan skrin rata cantik, rekaan yang premium, prestasi yang mantap dan kamera yang bagus.

ARTIKEL BERKAITAN