Close

Ulasan Samsung Galaxy A33 5G – Peranti kelas pertengahan premium dengan prestasi yang mengujakan

 

Samsung buat masa ini sedia menawarkan siri baru Galaxy A yang merupakan peranti kelas pertengahan premium. Masih mengekalkan tiga varian seperti sebelum ini iaitu Galaxy A33 5G, A53 5G dan juga A73 5G. Tidak seperti model sebelumnya, siri A kali ini membawakan spesifikasi, reka bentuk dan teknologi yang lebih baik dari sebelumnya.

Pada siri Galaxy A terbaru ini, yang paling mencuri tumpuan adalah Galaxy A33 5G. Kerana jika diperhatikan ia adalah sebuah peranti yang kompak tetapi hadir dengan spesifikasi dalaman yang baik. Selain itu, ia juga dilihat sangat solid secara luarannya.  

Reka bentuk dan binaan 

Pada pertama kali dipegang peranti ini terasa sangat solid dan selesa ditangan. Walaupun menggunakan binaan plastik namun elemen premium tetap dapat dirasai. 

Tidak seperti model Galaxy A53 5G dan Galaxy A73 5G yang menggunakan sisi dan panel belakang jenis glossy, pada Galaxy A33 5G Samsung menggunakan binaan jenis matte pada kedua-dua bahagian untuk memberikan pengalaman yang lebih baik ketika dipegang.

Selain itu, Galaxy A33 5G adalah lebih ringan dan nipis berbanding model sebelumnya dengan berat hanya 186g dan tebal hanya 8.1mm.


Dari segi reka bentuk pula, secara keseluruhan Galaxy A33 5G tidaklah membawakan perubahan yang drastik dari model sebelumnya. Namun masih terdapat satu atau dua sentuhan yang menjadikan ia berbeza dari model sebelumnya.

Antaranya adalah rekaan kamera yang sedikit terkeluar yang diilhamkan dari model premium Samsung yang terkini. Selain itu, reka bentuk Galaxy A33 5G yang kompak mungkin akan menjadi salah satu faktor untuk pembeliannya.

Paparan


Selain dari reka bentuk dan binaan yang menjadi tumpuan bagi sesuatu model, satu lagi bahagian yang menjadi keutamaan pengguna ketika membeli adalah paparan. Galaxy A33 5G didatangkan dengan skrin Super AMOLED 6.4 inci FHD+ dengan paparan 90Hz. 

Menggunakan skrin jenis infinity-U dengan rekaan bezel yang tidak simetri. Dengan bezel yang tidak simetri ia menjadikan Galaxy A33 5G lebih ergonomik dan mudah untuk dicapai pada kebanyakkan kawasan.

Kemampuan yang menarik pada paparan Galaxy A33 5G adalah paparannya yang meliputi 100% sRGB dan 98.97% warna gamut DCI-P3. Selain itu, purata kecerahan maksimum Galaxy A33 5G juga adalah sangat baik iaitu sekitar 400 nits. 

Pengalaman menonton menggunakan Galaxy A33 5G boleh dikatakan paus hati di mana ia turut menyokong Widevine L1 pada Netflix. Jika dilihat pada tanda harganya paparan yang ada pada Galaxy A33 5G adalah mengagumkan.

Kamera 


Kemampuan kamera sentiasa menjadi penanda aras pada sesebuah telefon pintar, mana tidaknya rata-rata pengguna menggunakan kamera sebagai salah satu medium untuk bersosial. Sudah menjadi trend sebuah telefon mempunyai lebih dari dua kamera, sama seperti Galaxy A33 5G. 


Didatang dengan empat kamera belakang dengan konfigurasi 48MP utama + 8MP  sudut lebar + 5MP makro + 2MP depth. Apa yang menarik pada kali ini adalah kamera utama Galaxy A33 5G kini mempunyai OIS yang mana tidak ada pada model sebelumnya. Untuk swafoto ia dimuatkan dengan kamera hadapan 13MP.

Sepanjang penggunaan, apa yang boleh dirumuskan adalah kamera utama dan kamera sudut lebar dapat menjalankan tugasnya dengan baik walaupun dalam keadaan cahaya yang suram manakala pada cahaya yang baik gambar yang dihasilkan adalah sangat baik. Mod malam juga tersedia untuk digunakan yang dapat menambah baik kualiti imej untuk waktu malam.

Ciri seperti Pro, Pro Video, Single Take, Food, Panorama, Makro, Super Slow Mo, Slow Mo dan juga Hyperlapse sedikit sebanyak memudahkan anda untuk bereksperimentasi. Tidak ketinggalan fungsi kamera Fun untuk Snapchat juga hadir secara terbina.

 

Prestasi

Galaxy A33 5G dijana oleh cip Exynos 1280 dengan teknologi binaan 5nm. Digabungkan dengan RAM sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 128GB. Secara keseluruhannya, Galaxy A33 5G memberikan dimensi yang berbeza dari segi prestasi. Kemampuan spesifikasinya melebihi dari apa yang diperlukan untuk penggunaan biasa, apatah lagi jika digunakan untuk menjalankan tugas yang lebih berat.

Dari segi prestasi gaming, Galaxy A33 5G tidaklah mengecewakan kerana peranti ini boleh memainkan Genshin Impact pada tetapan tinggi dengan 60 fps. Ia sesuatu yang mengagumkan kerana dengan spesifikasi sebegitu Galaxy A33 5G mampu memainkan permainan seberat itu tanpa sebarang masalah.

Kesimpulan


Apa yang boleh disimpulkan mengenai Galaxy A33 5G adalah ia amat berbaloi untuk dibeli jika dilihat berdasarkan julat harga jualan iaitu RM1,499. Dengan harga sebegitu Samsung menawarkan hampir semua ciri premium pada Galaxy A33 5G. Antaranya adalah skrin Super AMOLED, teknologi pengecasan pantas, paparan 90Hz, kamera OIS, jangka hayat bateri yang panjang, penarafan IP67 dan pengimbas cap jari dibawah skrin.

Selain itu, Samsung turut memberikan nilai tambah pada Galaxy A33 5G dengan menjanjikan kemaskini Android selama empat tahun dan kemaskini keselamatan sehingga lima tahun. Ketika artikel ini ditulis, hanya Samsung yang menawarkan kemaskini sebegitu lama untuk peranti kelas pertengahan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN