Close

Ulasan Samsung Galaxy A73 5G – Pengalaman andalan pada peranti kelas pertengahan premium

Secara peribadi, peranti bersaiz besar bukanlah pilihan hati. Namun, Galaxy A73 5G telah merubah pendapat kami terhadap peranti bersaiz besar. Walaupun Samsung menawarkan peranti bersaiz kompak seperti Galaxy A33 5G tetapi ketahuilah penyebab peranti bersaiz besar dicipta adalah kerana terdapat segelintir pengguna menyukainya dan kadangkala ia lebih membantu.

Tidak seperti model terdahulu iaitu Galaxy A72, Samsung Galaxy siri A generasi ketiga kali ini telah diberikan nafas baru dengan menerima kemaskini yang lebih baik seiring dengan teknologi masa kini. Dalam kalangan Galaxy siri A yang diumumkan oleh Samsung, siri Galaxy A73 5G wajar diberikan perhatian lebih kerana pakejnya yang mirip seperti peranti Flagship.

Reka bentuk dan binaan


Secara keseluruhan reka bentuk Galaxy A73 5G tidaklah begitu berbeza dari model terdahulu. Jika dipandang sekali imbas agak sukar untuk membezakannya namun kemasan warna baharu yang lebih menarik menjadikan ia mudah untuk dikenali. Pada hemat saya reka bentuk Galaxy A73 5G boleh dikatakan tidaklah begitu teruk dan tidaklah begitu baik.

Dari segi binaan, Galaxy A73 5G juga adalah lebih ringan iaitu hanya 181g dan lebih nipis iaitu hanya 6.38oz sekaligus menjadikan ia lebih selesa jika dipegang untuk jangka masa panjang. Walau dengan saiz yang besar ia tetap terasa solid ketika dipegang namun terasa sedikit slippery ketika digunakan.

Jika Galaxy A33 5G menggunakan kemasan jenis matte pada bahagian sisi dan panel belakang namun tidak pada Galaxy A73 5G yang menggunakan kemasan jenis glossy bagi menampakan ia lebih mewah dan premium.

Paparan


Apa yang menarik mengenai paparan pada Samsung Galaxy A73 5G ialah ia hadir dengan skrin Super AMOLED Plus bersaiz 6.7 inci FHD+ bukan dengan paparan 90Hz sebaliknya 120Hz.  Di mana pada ketika ini kebanyakkan peranti kelas pertengahan lebih banyak menggunakan paparan 90Hz dengan skrin jenis LCD. Menggunakan skrin jenis Infiniti-O dengan tahap kecerahan sehingga 800 nits yang memudahkan pengunaan dibawah cahaya matahari.

Ratio paparan Galaxy A73 5G juga adalah lebih luas iaitu sekitar 87.0% sekaligus memberikan pengalaman paparan yang lebih baik lebih lebih lagi ketika menonton video atau digunakan untuk media sosial. Selain itu, rekaan bezel pada Galaxy A73 5G adalah agak nipis dan simetri. Pemandangan skrin dari sudut sisi juga adalah sangat baik. Bagi anda yang gemar menonton Netflix pada telefon pintar, Galaxy A73 5G menyokong Widevine L1 sekaligus dapat menonton kandungan dalam resolusi HD.

Kamera


Apa yang menarik mengenai kamera Galaxy A73 5G adalah buat pertama kalinya Samsung memawarkan kemampuan kamera premium pada peranti kelas pertengahan mereka sekaligus menaiktaraf kemampuan kamera dari model terdahulu.  Didatangkan dengan konfigurasi empat kamera belakang dengan kamera utamanya adalah 108MP + 12MP ultra lebar + 5MP makro + 5MP depth. Manakala untuk kamera swafoto pula adalah 32MP.


Keupayaan kamera pada Galaxy A73 5G adalah sangat baik lebih lebih lagi dengan kamera utama 108MP yang sangat membantu dalam mendapatkan kualiti imej yang lebih baik serta perincian imej yang diambil. Secara automatiknya kamera Galaxy A73 5G ditetapkan sebagai 12MP dan untuk menggunakan 108MP pengguna harus mengubah tetapannya. Dengan menggunakan kamera 108MP hasil imej yang diperolehi lebih terperinci namun julat dinamik dilihat tidak begitu baik. 

Kami tidak mengalakkan anda sentiasa menggunakan 108MP sebaliknya 12MP dilihat lebih baik pada kebanyakkan senario. Dari segi rakaman video, kualiti yang dihasilkan boleh dikatakan cukup baik dengan keupayaan fokusnya yang tajam serta perincian rakaman video.

Prestasi


Prestasi pada Galaxy A73 5G adalah sesuatu yang teruja untuk diceritakan, dijana dengan cip Snapdragon 778G 5G dengan teknologi binaan 6nm. Di padankan pula dengan RAM sehingga 8GB serta storan dalaman sehingga 256GB. Ia adalah naik taraf yang sangat ketara dari model Galaxy A72 yang menggunakan cip Snapdragon 720G dengan teknologi binaan 8nm.

Apa yang boleh kami katakan kemampuan prestasi pada Galaxy A73 5G wajar dipuji. Sepanjang penggunaan, kami merasakan yang Galaxy A73 5G adalah benar – benar pantas dan lancar. Perkara ini dapat dilihat semasa membuka aplikasi kamera atau menukar aplikasi ianya sangat pantas setanding dengan peranti flagship. 


Bermain Genshin Impact pada Galaxy A73 5G juga cukup mengagumkan, di mana ia boleh dimainkan dalam grafik tetapan paling tinggi dengan 60fps, purata fps ketika dimainkan adalah sekitar 40fps sangat mengagumkan untuk peranti kelas pertengahan. Untuk permainan PUBG New State ia juga boleh dimainkan pada tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah.

Kesimpulan


Tajuk ulasan ini sudah pun mengambarkan yang Samsung Galaxy A73 5G adalah salah satu peranti kelas pertengahan dengan kemampuan kelas perdana. Ia juga boleh dianggap sebagai satu pakej yang lengkap dengan prestasi yang pantas dan lancar, gambar yang padu dari kamera utama, skrin Super AMOLED Plus, paparan 120Hz, penarafan IP67 dan juga pengimbas cap jari dibawah skrin.

Ditambah pula dengan perisian One UI 4.1 berasaskan Android 12, tidak cukup dengan itu Samsung turut memberikan kemaskini Android selama empat dan kemaskini keselamatan selama lima tahun. Jika anda seorang yang mementingkan kemaskini yang panjang peranti ini patut ada dalam senarai untuk membeli.

ARTIKEL BERKAITAN