Close

Nothing Phone (1) dikesan menggunakan Snapdragon 778G+ dengan konfigurasi RAM 8GB


Nothing telah pun mengumumkan yang 12 Julai merupakan tarikh pelancaran bagi telefon pintar pertama mereka iaitu Phone (1). Menjelang hari pelancaran tersebut, beberapa maklumat awal mengenai spesifikasinya telah pun tertiris melalui aplikasi penanda aras Geekbench.

Berdasarkan hasil yang dikongsi melalui penanda aras Geekbench, Nothing Phone (1) dijangka akan dikuasakan oleh cip Snapdragon 778G+ bersama GPU dari Adreno. Secara asasnya Snapdragon 778G+ merupakan cip Snapdragon 778G yang telah di overclocked kepada 2.51Ghz. Sebelum ini terdapat maklumat mengatakan yang Phone (1) sekurang kurang akan dijana cip Snapdragon 7 Gen 1 tetapi ia seperti tidak akan berlaku.

Melalui jumlah skor yang dikongsi, Phone (1) mendapat 797 mata untuk ujian single core dan untuk ujian multicore pula ia memperolehi 2,803 mata. Hasil ujian tersebut turut memperlihatkan beberapa maklumat lain seperti Phone (1) akan menjalankan Android 12 dan menggunakan konfigurasi RAM sebesar 8GB.


Spekulasi lain mengenai Nothing Phone (1) adalah seperti menggunakan pengecasan pantas 45W, menyokong pengecasan tanpa wayar dan yang terkini ia akan dijual menggunakan sistem jemputan seperti mana pada model OnePlus One.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN