Close

OnePlus Nord 2T dan OnePlus Nord CE 2 Lite dilancarkan di Malaysia – Harga jualan mencecah sehingga RM2,099

 

OnePlus sebelum ini telah pun melancarkan siri Nord terbaru mereka iaitu OnePlus Nord 2T dan OnePlus Nord CE 2 Lite untuk pasaran terpilih. Namun kini ia mula ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Buat yang tidak mengetahui, siri Nord merupakan peranti kelas pertengahan namun tampil dengan beberapa ciri premium.

Untuk OnePlus Nord 2T ia tampil dengan skrin bersaiz 6.43-inci AMOLED dengan paparan 90Hz. Turut menyokong kandungan HDR10+ dan terdapatnya pengimbas cap jari dibawah skrin. Dijana dengan cip Dimensity 1300 yang digabungkan dengan RAM LPDDR4X sehingga 12GB dan storan dalam sehingga 256GB UFS 3.1.

Dari segi fotografi, OnePlus Nord 2T hadir dengan tetapan tri-kamera dengan kamera utama 50MP, ultra lebar 8MP dan sensor mono 2MP. Untuk swafoto, ia tampil dengan kamera sebesar 32MP IMX615. Dimuatkan dengan bateri sebesar 4500mAh yang turut menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 80W.

OnePlus Nord 2T ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Gray Shadow dan Jade Fog dan dijual pada harga bermula RM1,899 bagi 8GB+128GB dan RM2,099 bagi 12GB+256GB. Peranti ini akan mula dijual pada 19 Julai yang akan disertakan dengan hadiah percuma Nord Buds bernilai RM299 untuk pembeli terawal.

Bagi peranti OnePlus Nord CE 2 Lite, ia hadir dengan skrin bersaiz 6.59-inci LCD resolusi FHD bersama paparan 120Hz. Dikuasakan oleh cip Snapdragon 695 5G dan digabungkan dengan 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman 128GB UFS 2.2 yang turut menyokong slot MikroSD sehingga 1TB.

Untuk kamera, ia membawakan tetapan tri-kamera dengan kamera utama 64MP Quad Pixel f/1.7, 2MP bokeh dan 2MP makro. Manakala untuk kamera swafoto ia tampil dengan sensor sebesar 16MP IMX471. Dimuatkan dengan bateri sebesar 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 33W. Peranti ini tidak tampil dengan butang Alert Slider namun masih mempunyai sokongan bicu audio 3.5mm.

Peranti ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Black Dusk dan Blue Tide. Peranti ini hadir dalam satu varian sahaja iaitu 8GB+128GB dengan harga jualan bermula dari RM1,199. Akan dijual secara rasmi bermula 19 Julai ini dengan setiap pembeli terawal akan menerima diskaun sebanyak RM200.

ARTIKEL BERKAITAN