Close

5 perkara menarik dengan Garmin Venu 2 Plus

Garmin merupakan jenama popular dalam menghasilkan jam tangan pintar yang lasak dan berkualiti, sering digunakan oleh pelari profesional dan juga atlet endurance

Selain itu, ia juga memiliki pelbagai keistimewaan yang menarik seperti memantau tahap kesihatan, memudahkan atkitivi harian dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah jika kebanyakkan atlet mahupun pengguna biasa lebih memilih Garmin berbanding jenama lain.


Bercakap mengenai jam tangan pintar dari Garmin, pada kali ini kami ingin berkongsi mengenai lima perkara menarik yang ada pada Garmin Venu 2 Plus

Secara asasnya, apa yang boleh dikatakan Venu 2 Plus membawakan satu dimensi yang berbeza mengenai penjejakan kecergasan. Bersamanya juga terdapat sejumlah peningkatan berbanding dari model sebelumnya.

Reka bentuk 


Bercakap mengenai reka bentuk, Venu 2 Plus hadir dalam satu saiz sahaja iaitu dengan 43mm menggunakan rekaan jenis bulat, sangat sesuai untuk kebanyakkan pengguna. Menggunakan skrin sentuh jenis AMOLED bersaiz 1.3-inci dengan resolusi 414 x 414 yang sangat terang dan responsif, dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 3. 

Untuk memberikan ketahanan yang lebih baik, bingkai  pada Venu 2 Plus hadir dengan binaan stainless steel manakala tubuhnya menggunakan polimer fiber-reinforced.

Perubahan ketara di antara Venu 2 siri dan Venu 2 Plus boleh dilihat pada bahagian butang, di mana pada Venu 2 Plus terdapat tiga butang fizikal yang diletakkan di sebelah kanan dengan salah satu butang tersebut adalah pintasan kepada Voice Assistant, manakala butang yang lain digunakan sebagai kawalan menu pintas. 

Fungsi Voice Assistant boleh diaktifkan dengan hanya menekan butang beberapa saat, kekerapan kami menggunakan fungsi ini adalah lebih dari kebiasaan. Mungkin di sebabkan ia lebih mudah untuk diakses. Bergerak ke sebelah kiri, terdapatnya pembesar suara manakala mikrofon terletak di bahagian bawah.

Garmin Venu 2 Plus mempunyai tiga pilihan warna iaitu Cream Gold Stainless Steel Bezel dengan Ivory Case dan Silicone Band, Silver Stainless Steel Bezel dengan Powder Gray Case dan Silicone Band dan juga Slate Stainless Steel Bezel dengan Black Case dan Silicone Band. 

Kesemua tali jam tangan ini menggunakan bahan jenis silikon yang lembut. Namun jika anda mahukan sesuatu yang lebih premium ia juga tersedia dengan pilihan seperti suede, leather atau metal.

Sistem Operasi dan aplikasi


Seperti jam tangan pintar yang lain, Garmin Venu 2 Plus turut hadir dengan sistem operasi yang tersendiri. Pengalaman pertama mengendalikan peranti ini boleh dikatakan agak sedikit rumit dan memerlukan masa yang lebih untuk memahaminya. Namun, rekaan grafiknya yang terperinci memudahkan untuk dibaca dan selepas berjaya menguasainya ia terasa lebih mudah untuk digunakan.

Satu perkara yang menarik mengenai Garmin tentulah Garmin Connect, boleh dianggap sebagai salah satu aplikasi penjejak kecergasan yang terbaik buat masa ini. Dengan hanya satu sambungan semua data dapat diperoleh dan jika anda bertukar dari model Garmin yang lain, semua data terdahulu dapat disegerakkan tanpa sebarang masalah.

 Melaluinya juga, pengguna boleh merancang latihan atau aktviti mingguan seperti berlari, berbasikal dan sebagainya. Selain itu, ia juga boleh menetapkan matlamat pada setiap aktiviti. Menariknya, Garmin Connect turut boleh dipadankan dengan aplikasi kesihatan pihak ketiga seperti Strava, Nike+, Runkeeper, MyFitnessPal dan lain-lain.

Bagi mendapatkan pengalaman yang lebih baik sewaktu menggunakan jam tangan pintar dari Garmin, dua aplikasi wajib dipasang iaitu Garmin Connect dan Connect IQ

Jika Garmin Connect memfokuskan kepada fungsi penjejakan kecergasan, Connect IQ pula lebih terarah kepada penyesuaian jam seperti watch face, pengurusan aplikasi dan sebagainya. Apa yang boleh dikatakan, Antara muka kedua-dua aplikasi ini adalah kemas dan tersusun, mudah untuk difahami biarpun pertama kali menggunakannya, 

Prestasi


Dari segi prestasi, tidak banyak perkara untuk dibahaskan. pada pengamatan saya, sepanjang pengunaan Venu 2 Plus tidak memberikan sebarang masalah seperti lengah masa yang teruk, auto reboot atau sebagainya. 

Cuma apa yang saya perasan, terdapat sedikit lengah masa semasa menatal. Tidak dapat dipastikan adakah ia berpunca dari sistem operasi, kegagalan perkakasan seperti skrin, atau mungkin perisian yang perlu dikemas kini. Namun, perkara tersebut tidak begitu mengganggu dalam aktiviti seharian saya.

Prestasi lain seperti kemampuan GPS boleh dikatakan sebagai amat baik dan tepat biarpun berada pada kawasan dengan capaian GPS yang sukar. 

Sepanjang penggunaan saya, masalah seperti kehilangan GPS secara tiba-tiba atau GPS terlalu lama untuk dikesan tidak pernah berlaku. Bacaan sensor pada Venu 2 Plus boleh dikatakan sangat baik untuk sebuah jam tangan pintar.

Fungsi


Selain dari kemampuan penjejakan kecergasan yang cemerlang, Venu 2 Plus juga didatangkan dengan beberapa fungsi lain seperti kemampuan untuk membuat panggilan dan menerima panggilan

Pengalaman menjawab dan membuat panggilan menggunakan Venu 2 Plus boleh dikatakan sangat baik bagi sebuah jam tangan pintar, kualiti panggilan yang dihasilkan adalah terperinci. Dari segi kualiti mikrofon juga adalah sangat baik yang mana penerima dapat mendengar suara dengan jelas tanpa sebarang masalah. 

Selain itu, Venu 2 Plus juga menyokong fungsi asas seperti jam tangan pintar lain iaitu boleh menerima notifikasi. Antara aplikasi yang menyokong fungsi ini adalah seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, Gmail dan lain-lain. 

Pengguna juga boleh menetapkan fungsi notifikasi ini melalui aplikasi Garmin Connect. Selain itu, ia juga menyokong fungsi untuk membalas notifikasi menggunakan teks ringkas seperti okay, tidak dan ya.

Sebagai tambahan, jika anda seorang pengemar muzik, Venu 2 Plus dilengkapi dengan storan dalaman yang mampu menyimpan sehingga 350 lagu, sekaligus membolehkan anda mendengar lagu secara terus dari peranti atau menyambung kepada putik audio tanpa memerlukan telefon.

Ketahanan bateri


Selain dari fungsi dan penjejakan kecergasan yang menjadi tumpuan, ketahanan bateri juga adalah perkara yang dititikberatkan dalam pemilihan jam tangan pintar. Penggunaan yang berbeza akan memberikan hasil ketahanan bateri yang berbeza.

 Garmin menyatakan yang Venu 2 Plus mampu digunakan sehingga 9 hari untuk penggunaan biasa, 10 hari dalam mod penjimatan. Ketahanan bateri semakin menurun kepada 24 jam jika menggunakan GPS dan menjadi 8 jam apabila menggunakan GPS dan mendengar muzik.

Dari pengalaman saya, ketahanan bateri pada Venu 2 Plus mampu bertahan sehingga 10 ke 11 hari untuk penggunaan biasa. Namun, menurun kepada 5 hari apabila saya menggunakan always on display dan pemantauan blood oxygen. 

Dari segi pengecasan pula, Venu 2 Plus hadir dengan sistem pengecasan yang tersendiri yang mampu mengecas dari 0% ke 100% hanya dalam 90 minit sahaja.

Kesimpulan

 

Apa yang boleh dirumuskan, Garmin Venu 2 Plus boleh dikatakan sebagai sebuah jam tangan pintar yang lengkap, memfokuskan kepada kesihatan dan juga kecergasan. 

Sangat sesuai digunakan pada kebanyakkan pengguna lebih-lebih lagi seperti pelari atau penunggang basikal. Keupayaan sensor yang tepat dan prestasi GPS yang mengagumkan antara sebab mengapa Venu 2 Plus ini berada di kelasnya yang tersendiri.

Selain hadir dengan pelbagai fungsi, satu perkara menarik mengenai Venu 2 Plus adalah berkenaan skrin. Peranti ini mempunyai skrin sangat baik dan terang, setiap maklumat yang dipaparkan seperti ikon, graf, nombor dan lain-lain dapat dilihat dengan jelas biarpun digunakan untuk aktiviti luar. 

Selain itu, pada Venu 2 Plus juga terdapat lebih dari 35 mod sukan antaranya seperti mendayung, golf, ski, yoga, pilate dan lain-lain. Mempunyai penarafan 5ATM yang membolehkan ia digunakan untuk aktiviti air. Penambahan mikrofon dan juga pembesar suara pada model ini boleh dikatakan sebagai turning point yang ada pada Venu 2 Plus.

ARTIKEL BERKAITAN