Close

Samsung Galaxy Z Fold4 – Mewah, serba boleh dan cukup berkuasa


Samsung boleh dianggap sebagai salah satu pengeluar yang menerajui segmen peranti boleh-lipat. Perkara tersebut tidak boleh disangkal lagi apabila Samsung melancarkan siri baharu peranti boleh-lipat mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold4.



Melaluinya, Samsung telah menambah-baik pelbagai perkara untuk menjadikan peranti ini lebih baik dari model sebelumnya. Perubahan ketara boleh dilihat dari pelbagai sudut, termasuklah teknologi yang dimuatkan pada Samsung Galaxy Z Fold4.


Sehubungan dengan itu, kami akan berkongsi mengenai tiga perkara menarik dan tiga perkara kurang menarik pada 
Samsung Galaxy Z Fold4.


Tiga perkara menarik :

Reka bentuk



Sekilas pandang, Samsung Galaxy Z Fold4 nampak seperti model sebelumnya. Namun, sebenarnya terdapat beberapa perubahan fizikal yang telah dilakukan oleh Samsung untuk menjadikan ia lebih lasak dan lebih baik dari model sebelumnya.


Secara keseluruhan, 
Samsung Galaxy Z Fold4 mempunyai rekaan yang lebih ringan dan lebih kecil. Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold4 juga kini sedikit lebih lebar iaitu 155.1mm dan juga sedikit lebih pendek iaitu 3mm, ia juga kini 8 gram lebih ringan berbanding Samsung Galaxy Fold3.


Samsung juga telah menambah-baik pada bahagian engsel yang mana ia kini lebih nipis dan juga lebih kecil. Ketahanan engsel juga dipertingkatkan sekaligus menjadikan ia terasa sangat kukuh ketika dibuka atau dilipat.

Menariknya, Samsung Galaxy Z Fold4  turut mempunyai penarafan IPX8, yang mana ia mampu bertahan selama 30 minit pada kedalaman 1 meter. 

Skrin


Kemampuan skrin pada 
Samsung Galaxy Z Fold4 adalah wajar dipuji. Biarpun Samsung hanya membawakan perubahan yang kecil berbanding model sebelumnya, tetapi ia membawakan impak yang sangat besar.


Perubahan yang paling kami suka adalah mengenai skrin luar, yang mana ia kini 3mm lebih lebar dan sedikit lebih pendek. Perubahan tersebut menjadikan skrin luar Samsung Galaxy Z Fold4 menjadi lebih berguna serta selesa untuk menaip berbanding pada model sebelumnya.

Sedikit mengenai skrin luaran, bersaiz 6.2-inci Dynamic AMOLED 2X dengan paparan 120Hz. Skrin ini mempunyai kecerahan yang sangt baik di bawah cahaya matahari dan turut menyokong kandungan HDR10+.


Perubahan pada skrin dalaman turut dilakukan oleh Samsung, yang mana pada kali ini kesan lipatan berjaya dikurangkan berbanding model sebelumnya. Penggunaan kamera swafoto di bawah skrin (UDC) juga kini lebih kemas dan tidak menonjol seperti pada Samsung Galaxy Z Fold3.

Selain itu, bingkai yang digunakan kini lebih nipis sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik. Skrin dalaman masih lagi sama iaitu 7.6-inci Dynamic AMOLE 2X yang turut mempunyai paparan 120Hz dan HDR10+.
Secara keseluruhan, peranti ini membawakan pengalaman skrin yang imersif dengan kedua-dua skrin menyokong paparan sehingga 120Hz. Selain itu, ia juga menyokong pelbagai fungsi menarik.
Prestasi

Prestasi pada Samsung Galaxy Z Fold4 sememangnya tidak perlu diulas panjang. Sepanjang pengunaan kami. apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik.




Dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 + Gen 1 yang merupakan cip paling berkuasa dalam keluarga Qualcomm. Gabungan cip dan juga perisian yang digunakan menjadikan Samsung Galaxy Z Fold4 ini terasa sangat lancar berbanding model sebelumnya. Selain itu, kemampuan multi tugas pada peranti ini menjadikan ia berada di kelasnya yang tersendiri.


Tiga perkara kurang menarik :

Skrin


Biarpun di awalan kami memuji kehebatan skrin pada Samsung Galaxy Z Fold4. Namun begitu, terdapat faktor yang kami rasakan Samsung boleh melakukan dengan lebih baik.



Perkara yang dimaksudkan adalah mengenai kesan lipatan yang agak ketara pada Samsung Galaxy Z Fold4. Biarpun Samsung berjaya mengurangkan kesan lipatan, tetapi ia akan lebih menonjol apabila menggunakan latar belakang dengan warna yang terang. 


Walaubagaimanapun, bagi kami ia bukanlah isu yang besar, cuma memerlukan sedikit masa untuk membiasakan dengan kesan lipatan tersebut.


Pengecasan dan kapasiti bateri


Biarpun ketika ini kita sudah ada peranti yang menyokong pengecasan pantas sehingga 160W dan bateri sehingga 6000mAh. Namun, Samsung masih lagi mengekalkan pengecasan pantas 25W dan juga kapasiti bateri yang sama seperti pada Samsung Galaxy Fold4.





Kami menjangkakan, Samsung mungkin akan menggunakan pengecasan pantas yang lebih tinggi dan bateri yag lebih besar pada Samsung Galaxy Z Fold4. Namun, perkara tersebut tidak berlaku. 



Samsung mungkin mempunyai sebab yang sendiri untuk mengekalkan pengecasan pantas 25W dan kapasiti bateri yang masih sama pada peranti boleh-lipat mereka.


Reka bentuk




Tidak dinafikan Samsung telah membuat beberapa perubahan pada Samsung Galaxy Z Fold4. Namun, perubahan itu tidak melibatkan perubahan reka bentuk yang berbeza dari model sebelumnya.




Samsung telah menggunakan reka bentuk yang sama bermula dari Samsung Galaxy Z Fold. Jika Samsung terus-menerus mengguna reka bentuk yang sama ia mungkin akan menjadikan siri Samsung Galaxy Z Fold sedikit bosan.

Kesimpulan



Samsung Galaxy Z Fold4 mungkin boleh dianggap sebagai peranti boleh-lipat yang terbaik pernah dihasilkan oleh Samsung. Kemampuan peranti ini sememangnya sangat baik dari segi prestasi dan juga dari segi kepelbagaian.

Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold4 ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi menarik seperti Samsung DeX, sokongan stylus, dan lain-lain.


Jika anda seorang peminat teknologi dan mahukan peranti yang boleh menjalankan pelbagai tugas hanya dalam satu peranti, kami sarankan anda mencuba 
Samsung Galaxy Z Fold4.

ARTIKEL BERKAITAN