Close

Honor MagicBook 16 – Komputer riba serba boleh dengan prestasi yang mengagumkan

Honor, jenama yang sebelum ini menawarkan telefon pintar kini telah melebarkan sayapnya dengan memperkenalkan komputer riba di bawah jenama mereka.

Melaluinya, Honor telah memperkenalkan MagicBook 16 yang membawakan rekaan yang kemas, ringan dan juga nipis. Selain itu, ia juga menawarkan spesifikasi yang terbaik di dalam kelasnya. 

Komputer riba ini memfokuskan kepada penggunaan yang pelbagai dan menyasarkan kepada golongan seperti pelajar, golongan elit atau pencipta kandungan.

Reka bentuk

Seperti namanya, Honor MagicBook 16 ini hadir dengan skrin bersaiz 16.1-inci IPS dengan resolusi 1080p dan menyokong paparan 144Hz. Mempunyai bingkai yang nipis iaitu dengan 5.1mm untuk memberikan pengalaman menonton yang lebih baik.

Ringan dan selesa, adalah gambaran yang sesuai untuk MagicBook 16 ini. Dengan berat hanya sekitar 1.84kg ia memberikan keselesaan untuk dibawa ke mana sahaja. Dengan rekaan yang nipis dan ringan ini juga membuatkan ia tidak memerlukan ruang yang banyak untuk disimpan di dalam beg.

Selain itu, ia juga mempunyai pensijilan dari TÜV Rheinland. Melaluinya, ia mampu untuk melindungi mata dari pancaran cahaya biru dan memberi keselesaan ketika menggunakannya. 

Prestasi


Secara keseluruhan, prestasi yang dibawa oleh MagicBook 16 adalah sangat mengagumkan. Dikuasakan dengan cip AMD RYZEN 7 5800H yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 512GB.

Honor mendakwa yang MagicBook 16 membawakan peningkatan prestasi sehingga 26% manakala 15% untuk prestasi grafik. Pengalaman bermain permainan menggunakan MagicBook 16 adalah sangat baik. Tiada masalah seperti lengah masa atau game freeze yang dihadapi ketika bermain. 

Selain bermain permainan, MagicBook 16 ini sangat sesuai digunakan untuk melakukan kerja-kerja berat seperti memproses fail multimedia termasuk foto, video dan sebagainya.

Ketahanan bateri

Selain dari prestasi yang mengagumkan, MagicBook 16 ini juga mempunyai ketahanan bateri yang sangat baik. Dari pengalaman saya, bateri MagicBook 16 ini mampu bertahan sehingga lebih 5 jam tanpa perlu menghidupkan mod penjimatan.

Jadi, jika anda ingin menggunakan komputer riba ini untuk kegunaan luar ia tidak akan memberikan sebarang masalah. Namun, perlu di ingatkan penggunaan yang berbeza akan memberikan hasil ketahanan bateri yang berbeza.

Pengecasan pantas 65W

 

Bercakap mengenai pengecasan pantas, MagicBook 16 ini hadir dengan pengecasan pantas 65W USB-C. Melaluinya, ia mampu mengecas dari 0% hingga ke 85% hanya dalam 60 minit. Sekaligus dapat menjimatkan masa pengguna.

Menariknya, pengecasan ini tampil dengan saiz yang sangat kompak yang menyerupai seperti pengecas telefon pintar. Yang mana ia juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar yang menggunakan sambungan yang sama.

Kesimpulan

Apa yang boleh dirumuskan mengenai Honor MagicBook 16 adalah ia sebuah komputer riba yang lengkap. Dengan rekaan yang nipis dan ringan ia pasti menjadi salah satu faktor terbesar untuk memiliki MagicBook 16 ini.


Tidak cukup dengan itu, MagicBook 16 juga menawarkan prestasi yang sangat baik. Mampu menjalankan setiap tugas dengan baik dan lancarkan. Ketahanan bateri yang panjang yang dipadankan dengan pengecasan pantas 65W ia membuatkan MagicBook 16 ini sangat sesuai untuk digunakan di mana saja.

ARTIKEL BERKAITAN