Close

Ini 3 perkara yang menarik dengan Samsung Galaxy Buds2 Pro

Samsung sedia menawarkan sebuah True Wireless (TWS) generasi baharu iaitu Galaxy Buds2 Pro untuk pasaran tempatan. Melaluinya, Samsung membawakan pelbagai ciri menarik dan juga beberapa peningkatan dari segi spesfikasi serta reka bentuk yang lebih baik.


Sehubungan dengan itu, kami akan berkongsi mengenai tiga perkara menarik yang dibawakan oleh Samsung pada Galaxy Buds2 Pro.

Reka bentuk 

Jika dilihat sekali pandang ia tidak ubah seperti generasi sebelumnya. Namun selepas kali pertama memegangnya ia terasa sangat berbeza dari generasi sebelumnnya. Secara keseluruhan, Galaxy Buds2 Pro adalah 15% lebih kecil, lebih ringan dan lebih kompak berbanding generasi sebelumnya.

Pod pengecas pada Galaxy Buds2 Pro menggunakan rekaan segi empat dengan kemasan jenis Matte yang menampakan ia lebih elegen. Saiz pod pengecas ini adalah lebih kecil berbanding AirPods Pro. Ia juga menyokong penarafan IPX7 dan boleh dicas melalui USB-C atau melalui pengecasan tanpa wayar.


Selain itu, putik audio juga adalah lebih ringan dengan 5.5gram setiap satu dan mempunyai ruang vent yang lebih besar untuk aliran udara yang lebih baik. Rekaan putik audio ini adalah dari jenis in ear dengan penyumbat silikon.

Pengalaman memakai Galaxy Buds2 Pro boleh dikatakan sangat selesa biarpun digunakan untuk satu jangka masa yang panjang. Selain itu, dengan rekaan yang lebih kecil dan lebih ringan, menjadikan ia tidak begitu terasa apabila digunakan. Secara keseluruhan, reka bentuk pada Galaxy Buds2 Pro telah membawakan keselesaan yang lebih baik.

Kualiti audio

Seperti yang kita tahu, Samsung telah bekerjasama dengan AKG dalam menghasilkan peranti audio yang lebih baik. Jadi tidak hairanlah jika Galaxy Buds2 Pro mempunyai kualiti bunyi yang sangat baik dalam kelasnya.


Galaxy Buds2 Pro membawakan pelbagai ciri menarik untuk memberikan pengalaman kualiti bunyi pada tahap tertinggi. Melaluinya, ia hadir dengan sokongan audio Hi-Fi 24bit untuk memberikan pengalaman audio di tahap maksimum.


Selain itu, Galaxy Buds2 Pro ini juga turut hadir dengan ciri ANC pintar yang dipertingkat dengan sokongan 3 mikrofon yang mempunyai Signal-to-Noise Ratio (SNR ) yang tinggi untuk menghalang bunyi luaran.

Ia juga mempunyai ciri 360 Audio dengan Direct Multi-Channel secara terbina untuk pengalaman audio maya daripada kesemua arah. Dari segi sokongan codec, Galaxy Buds2 Pro menyokong Samsung Seamless Codec HiFi, AAC dan SBC. 

Samsung turut menjanjikan sokongan Bluetooth Low Energy (BLE) pada masa akan datang, yang mana ia membolehkan anda merakam audio 360 menggunakan Galaxy Buds2 Pro.

Bateri


Selain dari reka bentuk dan juga kualiti audio, perkara ketiga yang menarik pada Galaxy Buds2 Pro adalah mengenai jangka hayat baterinya. 

 

Galaxy Buds2 Pro hadir dengan kapasiti bateri sebesar 515mAh. Melaluinya, ia mampu bertahan selama 29 jam dengan pod pengecas atau 8 jam dengan ciri ANC dimatikan, menurun kepada 18 jam dengan pod pengecas atau 5 jam dengan sokongan ANC diaktifkan.

Pada percubaan kami, jangka hayat bateri pada Galaxy Buds2 Pro adalah sangat baik, pada sesetengah keadaan ia mampu bertahan lebih dari apa yang diiklankan. Namun, perkara tersebut bergantung kepada penggunaan seseorang.

Kesimpulan


Galaxy Buds2 Pro boleh dikatakan sebagai TWS terbaik yang pernah Samsung hasilkan. Mempunyai kualiti audio pada tahap tertinggi, ciri ANC yang lebih berkesan dan juga keselesaan yang lebih baik.

Selain itu, rekaan yang dibawa juga adalah lebih baik, lebih ringan, lebih kompak berbanding dari model sebelumnya. Pengalaman audio Hi-Fi 24bit dan 360 pada Galaxy Buds2 Pro sememangnya sesuatu yang berbeza.

Jika anda mencari TWS dengan kualiti audio dan rekaan yang kompak, Galaxy Buds2 Pro mungkin adalah jawapan yang terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN