Close

Infinix Note 12 2023 – Spesifikasi mantap tapi…

Infinix Note 12 2023 merupakan sebuah telefon pintar yang menawarkan keupaayan permainan yang baik dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan nilai estetika.

Model ini mungkin menjadi pilihan yang sempurna untuk pengguna yang mencari peranti permainan dengan harga mampu milik. Disamping, peranti ini juga menawarkan beberapa spesifikasi yang terbaik di dalam kelasnya.

Sehubungan dengan itu, kami akan berkongsi mengenai tiga perkara menarik dan tiga perkara kurang menarik yang ada pada Infinix Note 12 2023.

Tiga perkara menarik 


Rekaan


Dari segi rekaan, Infinix Note 12 2023 hadir dengan dua rekaan pada panel belakang, kemasan Matte pada bahagian bawah sementara pada bahagian atas di kawasan kamera menggunakan kemasan jenis berkilat, yang berbentuk segi empat tepat.

Infnixi Note 12 2023, juga tampil dengan rekaan bingkai yang nipis dengan hanya 7.8mm. Menjadikan peranti ini terasa lebih nipis apabila dipegang dan selesa ketika bermain permainan. Selain itu, bingkai peranti ini adalah jenis rata dan terdapat dua butang fizikal di bahagian sisi kanan yang merupakan pengimbas cap jari dan juga butang suara.

Secara keseluruhan, rekaan yang ada pada Infinix Note 12 2023 boleh dikatakan agak baik. Menawarkan pengalaman seperti memegang peranti andalan dengan bingkai jenis rata serta rekaan yang ergonomik.

Paparan


Infinix Note 12 2023 dilengkapi dengan skrin AMOLED FHD+ jenis bertakuk dengan saiz 6.7-inci. Dari segi saiz paparan, ia tidaklah terlalu besar untuk digunakan dan masih selesa untuk digunakan sebelah tangan. Namun, ia mungkin berbeza kerana bergantung kepada saiz tangan pengguna.

Apa yang menarik pada paparan pada Infinix Note 12 2023 adalah ia menyokong warna gamut 100% DCI-P3. Yang mana ia memberikan pengalaman menonton dan bermain yang lebih baik. Warna yang dihasilkan juga adalah terang dan juga terperinci.

Keupayaan paparan pada Infinix Note 12 2023 adalah sangat baik. Dengan resolusi 1080×2400 dan PPI sekitar 393 ia sememangnya memberikan tanggapan yang berbeza mengenai paparan peranti ini.

Prestasi


Untuk prestasi, Infinix Note 12 2023 dikuasakan dengan cip MediaTek Helio G99 dengan binaan 6nm. Dipadankan dengan 8GB RAM yang boleh ditambah menjadi 13GB RAM melalui fungsi Extended RAM.

Secara keseluruhan, prestasi pada peranti ini adalah mengagumkan. Untuk penggunaan biasa, tiada sebarang masalah yang dihadapi, semua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar dan menukar aplikasi juga terasa sangat lancar biarpun menjalankan lebih dari 10 aplikasi di belakang.

Dari segi pengalaman bermain Mobile Legends : Bang Bang (MLBB), peranti ini boleh memainkan permainan ini pada tetapan tertinggi. Tiada masalah frame drop yang ketara ketika bermain biarpun ketika berlakunya teamfights yang panjang. Sepanjang percubaan kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika bermain permainan menggunakan peranti ini.

Kami juga gagal mengesan sebarang masalah kepanasan yang melampau pada Infinix Note 12 2023. Terima kasih kepada sistem penyejuk graphene dengan 10 lapisan yang dapat mengoptimumkan prestasi dan juga suhu peranti.

Tiga perkara kurang menarik 

Paparan



Biarpun pada permulaan kami mengatakan yang paparan pada Infinix Note 12 2023 adalah baik. Namun, terdapat beberapa perkara yang mungkin boleh menjadikan paparan peranti ini lebih sempurna, iaitu dengan penambahan paparan yang lebih tinggi iaitu 90Hz atau 120Hz.

Walaubagaimanapun, ia bukanlah masalah yang terbesar pada peranti ini. Ia masih lagi menawarkan kualiti paparan yang terbaik di dalam kelasnya. Tetapi, jika ia hadir dengan paparan 90Hz ia mungkin menjadi peranti yang lengkap.

Rekaan


Rekaan yang digunakan pada Infinix Note 12 2023 adalah agak baik. Tampil dengan rekaan bingkai yang nipis dan juga rata yang sangat selesa ketika dipegang.

Namun begitu, terdapat sedikit kekurangan dari segi rekaan peranti ini, yang mana ia tampil dengan binaan jenis plastik. Tidak dinafikan yang binaan jenis plastik terasa murah, namun perlu diingatkan yang peranti ini dijual pada tanda harga yang sangat mampu milik.

Secara keseluruhan binaan plastik bukanlah sesuautu yang teruk. Kerana waktu pertama kali dipegang, kami juga tidak mengetahui yang ia menggunakan binaan jenis plastik kerana ia terasa sangat solid ketika dipegang.


Tiada rangkaian 5G


Perkara terakhir yang kurang menarik pada Infinix Note 12 2023 adalah ketiadaan sokongan 5G. Biarpun, sokongan rangkaian 5G buat masa ini belum lagi menyeluruh di Malaysia. Tetapi kebanyakkan bandar utama telahpun menerima sokongan rangkaian 5G seperti Kuala Lumpur, Selangor, Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, buat masa ini, hanya YES sahaja yang menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G. Manakala syarikat telekomunikasi seperti Digi, Celcom, Maxis dan TM belum lagi menyedia perkhidmatan 5G. 

Oleh yang demikian, ketiadaan rangkaian 5G pada peranti ini bukanlah masalah utama. Namun, jika peranti ini disertakan dengan sokongan rangkaian 5G ia pasti menjadi salah satu faktor pembelian peranti ini.

Kesimpulan



Secara keseluruhan, Infinix Note 12 2023 boleh dikatakan sebagai sebuah peranti yang lengkap dan sesuai untuk pelbagai kegunaan. Spesifikasi yang dibawakan dengan harga yang ditawarkan dilihat salah satu sebab utama mengapa peranti ini bakal menjadi pilihan kebanyakkan pengguna.

Selain itu, paparan yang terang dan cantik serta rekaan yang nipis menjadikan peranti ini dilihat sangat sesuai untuk semua lapisan pengguna. Tidak ketinggalan, fungsi Monster Game Kit yang diletakkan pada peranti ini juga memberikan kelebihan untuk pengalaman bermain yang imersif dan juga lancar.

ARTIKEL BERKAITAN