Close

Ora Good Cat kini ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM139,800


Great Wall Motor (GWM) kini sedia untuk menawarkan kereta elektrik (EV) Ora Good Cat untuk pasaran tempatan. Ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dan 500 Ultra dengan jaminan bateri sehingga lapan tahun.


Secara asasnya, kedua-dua varian hadir dengan satu motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 143 PS dan tork 210 Nm dengan pacuan roda hadapan. Kelajuan purata adalah sekitar 152 km/j dan mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 7.9 saat.


Untuk 400 Pro, ia dilengkapi dengan bateri lithium-iron phosphate (LFP) 47.8 kWh yang mampu bergerak sehingga 400 km. Untuk pengecasan, ia mengambil masa sehinggga 8 jam untuk satu isian penuh dengan menggunakan sambungan jenis AC 6.6 kW, sementara 46 minit dari 0 ke 80% dengan menggunakan pengecasan pantas jenis DC.

Manakala untuk 500 Ultra, ia dilengkapi dengan bateri litium terner 63.1 kWj yang mampu bergerak sehingga 500 km. Untuk pengecasan, ia mengambil masam 10 jam untuk satu isian penuh dengan menggunakan AC, sementara 40 minit dengan menggunakan pengecasan pantas DC pada 60 kW.

Untuk harga jualan, Ora Good Cat 400 Pro dijual pada tanda harga bermula RM139,800, manakala RM169,800 untuk Ora Good Cat 500 Ultra. GWM memberikan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km dan juga jaminan bateri selama lapan tahun atau 180,000 km.

 Selain itu, setiap pembelian akan menerima satu set pengecas mudah alih dan pengecas di rumah, serta lima slot perkhidmatan penyelenggaran secara percuma.

ARTIKEL BERKAITAN