Close

Ulasan Samsung Galaxy Z Fold4 – Lebih tahan, lebih yakin dan lebih berkuasa

Samsung Galaxy Z Fold4 boleh dikatakan sebagai peranti boleh lipat paling popular pada ketika ini. Jadi, tidak hairanlah jika kebanyakkan pengguna lebih memilih Samsung Galaxy Z Fold4 berbanding peranti boleh lipat lain.

Melaluinya, Samsung telah menambah-baik pelbagai perkara untuk menjadikan peranti ini lebih baik dari model sebelumnya. Perubahan ketara boleh dilihat dari pelbagai sudut, termasuklah teknologi yang dimuatkan pada Samsung Galaxy Z Fold4.

Sehubungan dengan itu, kami ingin berkongsi ulasan mengenai pengalaman menggunakan Samsung Galaxy Z Fold4.
Rekaan

Dari segi rekaan, Samsung Galaxy Z Fold4 tidak membawakan perubahan yang ketara. Namun, terdapat beberapa perubahan kecil tetapi memberikan perbezaan yang besar menjadi ia lebih lasak dan juga lebih baik dari model sebelumnya. Antara perubahan yang dilakukan adalah seperti engsel yang lebih kukuh, lebih ringan dan juga lebih kecil.
Perubahan yang anda akan perasaan pada Samsung Galaxy Z Fold4 adalah ia kini lebih lebar iaitu 155.1mm dan juga lebih pendek iaitu 3mm. Selain itu, ia juga adalah lebih ringan dengan berat hanya 263 gram iaitu 8 gram lebih ringan berbanding Samsung Galaxy Fold3.
Bahagian paling menarik pada Samsung Galaxy Z Fold4 adalah mengenai teknologi engsel yang digunakan. Yang mana engsel tersebut terbahagi kepada tiga bahagian yang berbeza dan disambungkan dengan plat logam yang dipegang dengan 40 skru. Menariknya, pada engsel ini juga terdapat bulu berus bagi menghalang kotoran masuk.

Untuk memberikan pengalaman yang lebih selesa ketika dipegang, Samsung Galaxy Z Fold4 kini hadir dengan binaan logam dengan rekaan bingkai jenis rata. Yang mana rekaan bingkai jenis rata ini dilihat lebih kemas dan juga lebih menonjol berbanding model sebelumnya. Samsung Galaxy Z Fold4 ia juga turut mempunyai piawaian kalis air IPX8.
Skrin

Samsung Galaxy Z Fold4 masih lagi membawakan saiz skrin luaran yang sama iaitu 6.2-inci Dynamic AMOLED 2X. Membawakan resolusi 904 x 2306 dengan nisbah 23.1:9 yang turut menyokong paparan 120H. Tidak ketinggalan ia juga menyokong kandungan HDR10+. 

Sementara untuk skrin dalaman, ia masih lagi menggunakan skrin bersaiz 7.6-inci Dynamic AMOLED 2X, paparan 120Hz dan sokongan HDR 10+.


Bahagian paling menarik pada Samsung Galaxy Z Fold4 ini adalah mengenai skrin luar, yang mana ia kini 3mm lebih lebar dan sedikit lebih pendek. Perubahan tersebut menjadikan skrin luar Samsung Galaxy Z Fold4 menjadi lebih berguna serta selesa untuk menaip berbanding pada model sebelumnya.

Selain itu, perubahan pada skrin dalaman turut dilakukan oleh Samsung, yang mana pada kali ini kesan lipatan berjaya dikurangkan berbanding model sebelumnya. Penggunaan kamera swafoto di bawah skrin (UDC) juga kini lebih kemas dan tidak menonjol seperti pada Samsung Galaxy Z Fold3.
Kemampuan skrin pada Samsung Galaxy Z Fold4 adalah wajar dipuji. Biarpun Samsung hanya membawakan perubahan yang kecil berbanding model sebelumnya, tetapi ia membawakan impak yang sangat besar. Namun begitu, kesan lipatan pada skrin masih lagi agak ketara, lebih menonjol jika menggunakan latar belakang dengan warna cerah.

Sistem operasi dan Penggunaan
Selain penambahbaikan dari segi perkakasan, bahagian dalaman turut menerima perubahan besar iaitu pada bahagian perisian. Samsung Galaxy Z Fold4 menjalankan One UI 4.1.1 yang berasaskan Android 12L baharu yang mana versi ini direka khas untuk tablet dan juga peranti boleh lipat.
Bagi memudahkan lagi keupayaan berbilang tugas pada Samsung Galaxy Z Fold4, terdapatnya bar tugas yang terletak di bahagian bawah yang mana ia akan memaparkan aplikasi baharu secara automatik. Ia juga boleh diubahsuai mengikut kegemaran pengguna dengan hanya menyusun pada skrin utama.
Dengan adanya bar tugas, ia menjadikan Samsung Galaxy Z Fold4 terasa seperti sebuah desktop yang mampu menukar aplikasi dengan sangat lancar tanpa sebarang masalah.
Perkara lain yang kami suka mengenai Samsung Galaxy Z Fold4 adalah mengenai Multi Window, yang mana ia sangat mudah untuk digunakan. Untuk mula menggunakan mod ini, pengguna hanya perlu melakukan tatalan dua jari dari sisi bawah atau kiri untuk membuka tetingkap sekunder bagi melancarkan aplikasi kedua. Selain itu, Mod Flex juga kini telah ditambah baik, yang mana ia kini boleh diletakkan di atas aplikasi lain ketika peranti digunakan secara ‘L’.
Kemampuan sistem operasi dan juga prestasi pada Samsung Galaxy Z Fold4 adalah sangat baik yang mana ia dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 + Gen 1 yang merupakan cip paling berkuasa dalam keluarga Qualcomm ketika ini. Pengalaman menggunakan peranti dengan keupayaan Multi Window adalah sangat mengujakan. Kelancaran sewaktu mengguna atau menukar aplikasi adalah sangat mengagumkan.
Kamera 
Jika sebelum ini, kemampuan kamera pada siri Samsung Galaxy Z Fold tidaklah setanding siri Samsung Galaxy S. Namun, untuk Samsung Galaxy Z Fold4 ia kini hadir dengan tetapan kamera yang sama seperti Samsung Galaxy S22.
Samsung Galaxy Z Fold4 menggunakan sensor utama 50MP sudut lebar + 10MP telefoto dengan f/2.4 + 10MP ultra sudut lebar dengan f/2.2. Sensor utama kini 23% lebih terang, kemampuan zum optik juga dipertingkat sehingga 3x dan zum digital pula kini 30x berbanding 10x pada model sebelumnya. 
Untuk kamera swafoto di bahagian hadapan ia menggunakan sensor 10MP dengan f/2.2, sementara untuk kamera swafoto di bahagian dalaman ia menggunakan sensor 4MP dengan f/1.8 yang diletakkan di bawah skrin. Tiada perubahan ketara pada kamera bawah-skrin, disorokkan dengan lebih kemas. Dari segi rakaman, ia hanya menyokong rakaman sehingga 4K 60FPS.
Secara keseluruhan, kemampuan kamera pada Samsung Galaxy Z Fold4 adalah sangat baik. Untuk waktu dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan sangat baik dengan warna yang dihasilkan vibrant dan kebanyakkan warna sepadan dengan apa yang dilihat. Tahap Perincian juga dapat dikekalkan dengan baik dan tidak over sharpen.
Unutk kamera malam, apa yang boleh dikatakan hasilnya sangat memuaskan. Keupaayan sensor 50MP dan juga sistem OIS sangat membantu untuk situasi kurang cahaya. Dari segi swafoto, untuk kamera bawah skrin 4MP, hasilnya sekadar memuaskan, imej yang dihasilkan nampak seperti kurang bermaya dan juga gelap, berbeza dengan kamera swafoto utama imej yang dihasilkan adalah baik dan juga berkualiti.
Bateri
Dari segi kapasiti bateri, ia sedikit merisaukan kerana ia masih lagi menggunakan kapasiti bateri yang sama seperti Samsung Galaxy Z Fold3 iaitu 4400mAh. Ia juga turut menyokong pengecasan pantas 25, tanpa wayar 15W dan juga reverse wireless 4.5W.
Berdasarkan dari pengalaman penggunaan kami, apa yang boleh dikatakan jangka hayat bateri pada Samsung Galaxy Z Fold4 ini adalah agak baik. Untuk kegunaan yang biasa SOT yang diperolehi adalah sekitar 8 Jam 10 minit dan menurun kepada 5 jam 5 minit untuk penggunaan yang lebih berat.
SOT paling tinggi yang kami perolehi adalah sekitar 9 jam 28 minit dengan penggunaan sederhana dan menggunakan mod paparan standard iaitu 60Hz. Namun begitu, harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza dan itu akan memberikan hasil yang berbeza.
Kesimpulan

Samsung Galaxy Z Fold4 boleh dikatakan sebagai salah satu evolusi terbaik bagi telefon pintar boleh lipat ketika ini. Ia juga boleh dikatakan sebagai peranti boleh lipat yang versatile dengan keupayaan kamera yang baik, prestasi yang mantap dan juga fungsi yang pelbagai.
Selain itu, Samsung Galaxy Z Fold4 ini turut hadir dengan pelbagai fungsi menarik seperti Samsung DeX, sokongan stylus, dan lain-lain. Walaupun mempunyai beberapa kekurangan seperti kapasiti bateri yang kecil, kesan lipatan yang masih terlihat, kamera bawah skrin yang belum matang dan rekaan yang sama. 

Namun, jika anda seorang peminat teknologi dan mahukan peranti yang boleh menjalankan pelbagai tugas hanya dalam satu peranti, kami sarankan anda mencuba Samsung Galaxy Z Fold4 ini.

ARTIKEL BERKAITAN