Masalah kebocoran data semakin hari semakin membimbangkan. Terbaru, lebih dari 13 juta data pengguna Malaysia diiklan untuk dijual di forum terkenal dengan jualan data pengguna. Yang mana, menurut penggodam data tersebut adalah dari pengguna Maybank, Astro dan SPR.
Penggodam turut mendedahkan beberapa maklumat bagi membuktikan yang data tersebut adalah benar. Antara maklumat yang didedahkan adalah seperti nombor telefon, alamat, nama penuh dan juga nombor kad pengenalan. Namun begitu, penggodam tidak mendedahkan mengenai harga jualan dan bagaimana data tersebut diperoleh.
Ini satu dakwaan yang serius, melibatkan jumlah data yang banyak.
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) December 30, 2022
Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang. https://t.co/ZvaTJajVje
Menteri Komunikasi Digital telahpun dimaklumkan mengenai isu ini dan telah memberikan arahan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan CyberSecurity Malaysia untuk mengambil tindakan lanjut.
Ini bukanlah kali pertama data pengguna Malaysia dijual di pasaran web gelap. Berikutan dari itu, kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang lebih serius dalam menangani masalah ini seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem perkhidmatan atas talian.