Close

Apple dilaporkan akan menilai semula siri iPhone 15 – Perbezaan lebih ketara pada model standard dan model premium

Seperti yang kita tahu, penjualan iPhone 14 Plus adalah teruk dan tidak seperti mana yang Apple harapkan. Sehubungan dengan itu, Apple dikatakan akan mempertimbangkan untuk menyusun semula barisan baharu untuk siri iPhone 15.

iPhone 14 Plus merupakan barisan baharu pada siri iPhone 14 bagi menggantikan model mini pada siri iPhone 13. Melaluinya, ia hadir dengan spesifikasi yang sama seperti iPhone 14, tetapi dengan skrin dan bateri yang lebih besar.

Berdasarkan dari beberapa laporan, Apple dikatakan sedang menyusun semula strategi dalam menilai cara pengendalian model Pro dan bukan Pro untuk iPhone 15. Antara strategi tersebut adalah, meletakkan perbezaan yang lebih ketara untuk model Pro dan bukan Pro atau mengurangkan harga jualan bagi model Plus.

Ini bukanlah kali pertama Apple menyusun semula strategi mereka. Bermula pada siri iPhone 6, yang mana Apple mula memperkenalkan model Plus, kemudian menawarkan dua saiz berbeza dan seterusnya tampil dengan empat model berbeza iaitu dua model standard dan dua model premium.

 Walaubagaimanapun, maklumat ini masih terlalu awal untuk diperkatakan memandangkan pelancaran siri iPhone masih lagi jauh. Namun, Apple sememangnya perlu merangka semula strategi mereka sekiranya tidak mahu perkara yang sama berulang.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN