Lensa kamera pada Google Pixel 7 dilaporkan pecah secara tiba-tiba - FUZZ.MY

Tuesday, December 27, 2022

Lensa kamera pada Google Pixel 7 dilaporkan pecah secara tiba-tiba


Isu mengenai kaca lensa kamera pecah secara tiba-tiba bukanlah perkara baharu. Yang mana, sebelum ini, Samsung Galaxy S20 Ultra turut dilaporkan menghadapi isu yang sama.



Terbaru, beberapa pengguna Google Pixel 7 dilaporkan mengalami masalah yang sama iaitu kaca lensa kamera pecah secara tiba-tiba. Melalui perkongsian dari Twitter oleh @CSThrowaway, menyatakan kaca lensa kamera Pixel 7 milik beliau pecah secara tiba-tiba. Menurut beliau lagi, peranti tersebut belum lagi mencapai usia satu bulan, tidak pernah jatuh dan hanya digunakan secara biasa.



Masalah yang sama turut dilaporkan oleh u/dalitortoise melalui Reddit. Menurut beliau, kaca lensa Pixel 7 pecah secara tiba-tiba sebaik sahaja mengeluarkan peranti dari poketnya. Kejadian tersebut dikatakan bukan berpunca dari hentakan ataupun terjatuh.



Ini bukanlah peranti pertama dari Google yang menghadapi isu kaca lensa kamera pecah secara tiba-tiba. Sebelum ini, Google Nexus 6P turut dilaporkan mengalami isu yang sama seperti Pixel 7. Buat masa ini, Google belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masalah ini. 


(Sumber)