Close

5 telefon mercu yang akan dilancarkan di Malaysia pada 2023

Kita telahpun memasuki tahun 2023, yang mana pada tahun ini kita bakal diperlihatkan dengan pelbagai teknologi baru yang akan dimuatkan pada telefon mercu. Justeru dari itu, kami ingin berkongsi mengenai 5 telefon mercu yang akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 2023.

Siri Samsung Galaxy S23


Rata-rata peminat teknologi memilih Samsung Galaxy S22 Ultra sebagai telefon pintar terbaik untuk tahun 2022. Berikutan dari itu, siri Samsung Galaxy S23 bakal menjadi peranti yang ditunggu-tunggu untuk tahun 2023.

Seperti kebiasaan, Siri Samsung Galaxy S23 akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Galaxy S23, Galaxy S23+ dan juga Galaxy S23 Ultra. Menurut beberapa laporan awal, ketiga-tiga siri ini akan dikuasakan dengan cip dari Qualcomm. Dari segi rekaan, tiada perubahan ketara yang akan dibawakan, tetapi ia dilaporkan akan hadir dengan bonggol kamera yang lebih nipis.

Selain itu, siri Samsung Galaxy S23 bakal jadi peranti Samsung pertama yang akan menyokong komunikasi satelit. Untuk kemampuan fotografi, siri Samsung Galaxy S23 dijangka akan hadir dengan sensor yang lebih baik.

Buat masa ini, Samsung belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai tarik pelancaran bagi siri Samsung Galaxy S23. Namun, berdasarkan dari beberapa sumber. Siri Samsung Galaxy S23 dijangka akan dilancarkan pada 1 Februari ini. Untuk pelancarannya di Malaysia, mungkin akan dibuat seawal April.

OnePlus 11



OnePlus 11 telahpun dilancarkan secara rasmi di China. Buat pertama kali, OnePlus tidak membawakan model Pro sebaliknya hanya menawarkan satu model sahaja seperti mana sebelum ini.


Sekiranya anda memilih untuk menunggu OnePlus 11 Pro, mungkin perkara tersebut perlu dilupakan. Kerana, Presiden kepada OnePlus China menyatakan yang OnePlus 11 Pro tiada dalam perancangan mereka sebaliknya hanya model OnePlus 11 sahaja sebagai peranti andalan untuk OnePlus pada tahun ini.


Untuk spesifikasi, OnePlus 11 dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, skrin AMOLED LTPO 3.0, 16GB RAM LPDDR5X, storan dalaman 512GB UFS 4.0, kamera Hasselblad, bateri 5000mAh dan pengecasan pantas berwayar 100W. Biarpun tidak menawarkan model Pro, spesifikasi pada OnePlus 11 dilihat sangat berkuasa seperti model Pro.


OnePlus telahpun menjadualkan acara pelancaran global untuk OnePlus 11 pada 7 Febuari ini. Untuk pelancarannya di Malaysia, ia mungkin dilancarkan sekitar April atau May. Bagi peminat OnePlus di Malaysia, model ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibeli pada tahun ini.

Siri Xiaomi 13


Peranti seterusnya yang akan dilancarkan di Malaysia adalah Xiaomi 13. Peranti ini telahpun dilancarkan secara rasmi di China. Seperti tahun sebelumnya, Xiaomi masih membawakan dua varian iaitu Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro.

Perbezaan ketara pada kedua-dua model adalah dari segi skrin, rekaan, kamera, kapasiti bateri dan juga teknologi pengecasan. Untuk spesifikasi asas, siri Xiaomi 13 dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X, Storan dalaman UFS 4.0, kamera Leica dan juga penarafan IP68.

Peranti ini semestinya di nanti oleh peminat Xiaomi di Malaysia. Kerana ia menawarkan sejumlah peningkatan spesifikasi dan juga rekaan yang lebih baik dari model sebelumnya. Selain itu, keupayaan kamera Leica pada siri Xiaomi 13 mungkin menjadi salah satu sebab utama peranti ini harus di miliki.

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai tarikh pelancarannya di Malaysia. Jika merujuk kepada tarikh pelancaran Xiaomi 12 di Malaysia ia mungkin akan dilancarkan sekitar Mac 2023. 

Siri iPhone 15


Peranti dari Apple ini sentiasa menjadi peranti yang ditunggu-tunggu oleh semua peminat teknologi di seluruh dunia. Pada Siri iPhone 15, Apple mungkin hadir dengan tiga varian sahaja dengan iPhone 15 Plus berkemungkinan tidak dilancarkan.

Selain itu, siri iPhone 15 dilaporkan akan hadir dengan perubahan yang ketara dari segi reka bentuk. Manakala, dari segi spesifikasi ia mungkin hadir dengan sedikit perubahan dari model sebelumnya.

Antara laporan yang menarik mengenai siri iPhone 15 adalah, Apple mungkin akan menggunakan nama “Ultra” menggantikan model Pro Max. bingkai dari kerangka dari titanium, tiada butang fizikal, RAM yang lebih besar dan pengecasan port jenis USB-C.

Selain itu, siri iPhone 15 juga dilaporkan akan menggunakan sensor kamera baharu dari Sony dan juga akan hadir dengan cip A17 Bionic dengan teknologi binaan 3nm TSMC. Namun begitu, laporan ini masih terlalu awal untuk diperkatakan memandangkan acara pelancaran siri iPhone 15 masih lagi panjang.

Untuk tahun ini, siri iPhone 15 dijangka akan memasuki pasaran Malaysia lebih awal berbanding sebelum ini berikutan terdapat laporan menyatakan Apple bakal membuka Apple Store pertamanya di Malaysia pada tahun ini. Apple biasanya akan melancarkan telefon mercu mereka sekitar Septermber atau Oktober setiap tahun.

Siri Huawei Mate 60

Menduduki senarai terakhir untuk telefon mercu yang akan dilancarkan di Malaysia 2023 adalah siri Huawei Mate 60. Buat yang tidak tahu, Huawei Mate 50 Pro merupakan peranti dengan kamera terbaik untuk tahun 2022 yang menewaskan iPhone 14 Pro dan juga Google Pixel 7 Pro menurut DxOMark.

Pada ketika ini, tidak banyak maklumat yang didedahkan mengenai siri Huawei Mate 60. Namun, apa yang dapat dipastikan siri Huawei Mate 60 dijangka hadir dengan peningkat dari spesifikasi dan juga reka bentuk yang lebih baik dari model sebelumnya.

Selain itu, kami turut menjangkakan yang siri Huawei Mate 60 akan hadir dengan kemampuan kamera yang lebih unggul dari model sebelumnya. Tidak ketinggalan, siri Huawei Mate 60 bakal menjadi peranti Huawei pertama yang akan menyokong rangkaian 5G.

Untuk tarikh pelancarannya di Malaysia, ia mungkin akan dilancarkan sekitar November seperti mana model sebelum ini.

Selain dari yang disenaraikan, terdapat beberapa lagi telefon mercu yang akan dilancarkan di Malaysia pada 2023 antaranya adalah seperti siri Vivo X90, siri Oppo Find X6, siri realme GT Neo 5, Oppo Find N2, Oppo Find N2 Flip dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN