Close

Tiga teknologi yang telah mati pada tahun 2022

Pada tahun lalu, kita telahpun disajikan dengan pelbagai jenis teknologi baharu. Namun, sedar atau tidak terdapatnya teknologi yang mati atau tidak lagi disokong untuk tahun 2023. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi tiga teknologi yang mati pada tahun 2022.

iPod

Teknologi pertama yang mati pada tahun 2022 ialah iPod. Dilancarkan pada 23 Oktober 2001 oleh Apple Inc. Merupakan peranti media mudah alih (MP3), dicipta untuk menyelesaikan kelemahan yang ada pada pemain MP3 semasa seperti masalah kapasiti dan kemampuan mudah alih.

Semenjak diperkenalkan, iPod telahpun terjual lebih dari 450 juta. Terdapat lima model iPod yang telah dilancarkan oleh Apple iaitu iPod Touch, iPod Classic, iPod Mini, iPod Nano dan iPod Shuffle. Model terakhir yang dilancarkan adalah iPod Touch generasi ke-7 iaitu pada 29 Mei 2019.

Selepas lebih 20 tahun, Apple akhirnya menghentikan rangkaian produk iPod pada 10 Mei 2022. iPod boleh dianggap sebagai salah satu ikon kepada pemain media mudah alih. Akibat dari perkembangan teknologi yang lebih maju iPod dilihat tidak lagi relevan dan kebanyakan pengguna menggunakan telefon pintar sebagai medium baharu untuk mendengar lagu atau MP3.

Google Stadia


Google sememangnya cenderung untk menghasilkan teknologi baharu, kemudiannya membunuh teknologi tersebut apabila tidak mencapai apa yang disasarkan. Itulah yang terjadi pada Google Stadia.

Diumumkan pada 2019 dengan membawa harapan baharu untuk permainan penstriman yang berasaskan awan. Bukan itu sahaja, Stadia juga dilihat sebagai salah satu pesaing kepada permainan penstriman seperti PlayStation Plus Sony, GeForce Now Nvidia, Luna Amazon dan juga Xbox Microsoft.

Walaubagaimanapun, sejak ia dilancarkan Stadia dilihat tidak berjaya untuk meyakinkan pengguna, antara sebab kegagalan Stadia adalah kerana penawaran permainan yang terlalu sedikit dan kekurangan dari segi fungsi yang dijanjikan. Pada 29 September 2022, Google akhirnya mengumumkan yang Stadia ditamatkan.

Internet Explorer


Teknologi terakhir yang mati untuk tahun 2022 mungkin tidak sepopular yang lain. Walaupun begitu,teknologi ini wajar untuk dikenang sebagai salah satu teknologi yang pernah mencorak masa hadapan.

Internet Explorer mula diperkenalkan pada tahun 1995, merupakan pelayar web. Pada awal kemunculannya, pelayar web ini adalah sebahagian dari pakej tambahan yang perlu dibeli sebelum ia tersedia secara percuma pada tahun seterusnya.

Zaman kegemilangan bagi Internet Explorer adalah pada 2003, apabila menjadi pelayar web yang paling banyak digunakan dengan 95 %. Namun harus diingatkan, teknologi sentiasa berevolusi. Kemunculan FireFox pada 2004 dan Google Chrome pada 2008 telah membunuh Internet Explorer secara perlahan-lahan. Pada 15 Jun 2022, Microsoft mengumumkan yang Internet Explorer ditamatkan.

ARTIKEL BERKAITAN