Close

Samsung Galaxy S23 Ultra – Nampak sama tapi lebih berbisa


Samsung Galaxy S23 Ultra adalah peranti paling premium dalam keluarga Galaxy. Jadi, tidak hairanlah sekiranya peranti ini sentiasa dinanti dan sering menjadi pilihan dalam kalangan peminat teknologi.



Melaluinya, Samsung telah membawakan sejumlah peningkatan dari segi spesifikasi dan juga kemampuan kamera yang lebih baik bersama dengan fungsi perisian baharu. Selain itu, Samsung turut membawakan pelbagai lagi teknologi baharu seiring dengan perkembangan teknologi. Untuk kali ini, kami ingin berkongsi pandang pertama mengenai Samsung Galaxy S23 Ultra.


Rekaan



Nampak sama, itu adalah ayat pertama keluar dari mulut sewaktu kami melihat peranti ini untuk pertama kali. Namun, tanggapan itu hilang selepas memegang dan mencuba peranti ini. 

Biarpun Samsung tidak membawakan perubahan yang ketara pada Samsung Galaxy S23 Ultra. Namun, ia tetap memberikan perasaan yang berbeza ketika memegang peranti ini. Tampil dengan rekaan yang lebih berkotak dengan sisi rata memberikan pengalaman yang lebih selesa ketika dipegang.

Selain dari rekaan sisi yang rata, kami juga menyukai kemasan panel belakang jenis matte yang digunakan pada Samsung Galaxy S23 Ultra, memberikan cengkaman yang lebih baik dan juga tahan kotor berbanding kemasan panel belakang jenis glossy.


Penggunaan rekaan Floating Camera pada Samsung Galaxy S23 Ultra menjadikan ia lebih kemas dan lebih minimalis. Premium dan kemas mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan secara keseluruhan mengenai rekaan peranti ini.

Skrin


Samsung Galaxy S23 Ultra masih lagi menggunakan saiz skrin yang sama iaitu 6.8-inci. Tetapi, ia kini menggunakan binaan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak dan hadir dengan fungsi baharu Vision Booster yang memastikan imej kandungan kekal tajam serta boleh dilihat dalam pelbagai situasi pencahayaan.

Masih lagi menggunakan skrin jenis melengkung pada bahagian sisi kiri dan kanan. Tetapi, ia kini tidak terlalu melengkung seperti mana pada Samsung Galaxy S22 Ultra. Berikutan dari itu, ia kini mempunyai permukaan rata yang lebih besar pada skrin untuk memberikan tahap penggunaan yang lebih baik dan mengurangkan masalah sentuhan secara tidak sengaja.

Secara keseluruhan, skrin pada Samsung Galaxy S23 Ultra sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan jelas dan setiap sentuhan pada skrin ini sangat responsif.

Sistem Operasi

Samsung Galaxy S23 Ultra menjalankan sistem operasi One UI 5.1 yang berasaskan Android 13. Tiada perubahan ketara yang dibawakan pada One UI 5.1 berbandingan One UI 5.0. Lebih memfokuskan kepada penambahan fungsi baharu dan juga kemampuan ubahsuai antaramuka yang lebih baik.

Masih lagi mengekalkan antaramuka yang minimalis dan juga mudah untuk difahami. Sepanjang percubaan ringkas kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika mengendalikan One UI 5.1, sistem operasi terasa sangat lancar dan pantas.

Selain menawarkan pengalaman sistem operasi yang lancar dan pantas, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang berbanding pengeluar dengan empat tahun kemas kini Android dan lima tahun kemas kini keselamatan.

Kamera


Perkara menarik mengenai Samsung Galaxy S23 Ultra semestinya pada kemampuan kamera. Yang mana, ia merupakan peranti Galaxy pertama yang hadir dengan kamera 200 MP dengan sensor ISOCELL HP2.

Samsung menyatakan yang kemampuan kamera pada Samsung Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik dari model sebelumnya. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera Samsung Galaxy S23 Ultra.

ARTIKEL BERKAITAN