Close

Ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra – Nampak sama di luar, tapi berbeza di dalam

Seperti yang diketahui umum, Samsung Galaxy S23 Ultra adalah peranti flagship premium dari Samsung dengan harga jualan mencecah RM7199. Dengan harga jualan sebegitu, adakah Samsung Galaxy S23 Ultra layak untuk digelar sebagai peranti flagship terbaik untuk tahun ini seperti mana model sebelumnya?

Rekaan 


Dari segi rekaan mungkin tidak banyak yang perlu dikatakan. Masih membawakan rekaan ikonik seperti model sebelumnya. Namun, terdapat beberapa perubahan kecil yang memberikan tanggapan yang berbeza mengenai Samsung Galaxy S23 Ultra.



Ada tiga perkara yang kami suka mengenai rekaan Samsung Galaxy S23 Ultra. Pertama adalah mengenai rekaan skrin yang digunakan. Yang mana, pada kali ini rekaan skrin yang digunakan tidak terlalu melengkung dan mempunyai rekaan rata yang lebih besar untuk memberikan tahap penggunaan yang lebih baik.



Yang kedua adalah mengenai rekaan kamera yang digunakan. Tampil dengan rekaan yang dipanggil sebagai Floating Camera, menjadikan panel belakang Samsung Galaxy S23 Ultra lebih minamalis dan juga lebih kemas. Dan terakhir sekali adalah mengenai rekaan sisi yang kini lebih rata dan berkotak, memberikan keselesaan yang lebih baik ketika mengguna.

Biarpun, hanya membawa sedikit sahaja perubahan rekaan pada Samsung Galaxy S23 Ultra namun, ia dilihat sudah memadai. Premium dan minamalis mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan secara keseluruhan mengenai rekaan peranti ini.


Skrin



Selain dari rekaan yang lebih baik, Samsung turut membawakan teknologi skrin yang lebih padu pada Samsung Galaxy S23 Ultra. Masih lagi menggunakan saiz skrin yang sama iaitu 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Tetapi, menggunakan binaan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak dan menyokong kecerahan puncak yang lebih baik dengan 1750 nits.


Selain itu, Samsung turut membawakan beberapa fungsi baharu seperti Vision Booster dan Enhanced Booster yang memastikan imej kandungan kekal tajam serta boleh dilihat dalam pelbagai situasi pencahayaan.



Secara keseluruhan, apa yang boleh dikatakan keupaayan skrin pada Samsung Galaxy S23 Ultra sememangnya cemerlang dengan warna yang dihasilkan sangat baik, sudut pandangan yang jelas dan juga sentuhan yang responsif. Mungkin tidak keterlaluan untuk menyatakan skrin Samsung Galaxy S23 Ultra berada di tahap yang berbeza dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.


Prestasi



Samsung Galaxy S23 Ultra tampil dengan cip yang direka khas untuk Samsung iaitu Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy. Cip khas ini menawarkan peningkatan pada teras utama yang lebih pantas dengan 3.36GHz dan juga peningkatan GPU yang lebih baik dengan 719MHz.



Tiada sebarang masalah berkenaan dengan prestasi yang kami hadapi sepanjang penggunaan. Apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Kebanyakkan game boleh dimainkan dengan tetapan grafik dan juga resolusi tertinggi tanpa sebarang masalah.


Masalah utama kebanyakkan peranti adalah mudah panas biarpun bermain pada waktu yang singkat. Namun, pada Samsung Galaxy S23 Ultra perkara tersebut berjaya diselesaikan dengan menggunakan vapor chamber yang lebih besar. Percubaan kami bermain beberapa games, kami mendapati yang Samsung Galaxy S23 Ultra tidak terasa terlalu panas sebaliknya hanya terasa suam.

Samsung turut menggunakan teknologi RAM yang lebih baharu LPDDR5X dan juga teknologi storan yang lebih pantas dengan UFS 4.0. Kedua-dua teknologi ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih pantas sewaktu menukar aplikasi, pasang aplikasi, membuka aplikasi dan lain-lain. Apa yang boleh dirumuskan, prestasi pada Samsung Galaxy S23 Ultra adalah sangat mengujakan.

Sistem operasi


Samsung Galaxy S23 Ultra menjalankan sistem operasi One UI 5.1 yang berasaskan Android 13. Tiada perubahan ketara yang dibawakan pada One UI 5.1 berbandingan One UI 5.0. Lebih memfokuskan kepada penambahan fungsi baharu dan juga kemampuan ubahsuai antaramuka yang lebih baik.


One UI 5.1 masih lagi mengekalkan antaramuka yang minimalis dan juga mudah untuk difahami. Apa yang kami suka mengenai One UI 5.1 adalah ia kini menyokong ubahsuai antaramuka yang lebih mendalam yang memberikan pengguna lebih banyak pilihan warna tema dan juga keupayaan widget yang dipertingkat.



Beberapa fungsi baharu turut dimuatkan pada One UI 5.1 seperti Expert RAW, sokongan DeX yang lebih baik, aplikasi galeri yang dipertingkat dan banyak lagi. Sepanjang percubaan kami tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika mengendalikan One UI 5.1. 


Selain menawarkan pengalaman sistem operasi yang lancar dan pantas, Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang berbanding pengeluar dengan empat tahun kemas kini Android dan lima tahun kemas kini keselamatan.


Bateri



Samsung Galaxy S23 Ultra masih lagi menawarkan kapasiti bateri dan juga teknologi pengecasan yang sama seperti model sebelumnya. Bateri 5000mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 45W, 15W tanpa wayar dan 4.5W pengecasan tanpa wayar berbalik. 

Biarpun masih menggunakan kapasiti bateri yang sama. Namun, jangka hayat bateri yang ditawarkan pada kali ini adalah lebih baik. Untuk penggunaan biasa, secara purata Screen On Time (SOT) adalah sekitar 7 jam hingga 9 jam. Manakala untuk penggunaan yang lebih berat, secara purata SOT adalah sekitar 6 jam hingga 8 jam. Secara keseluruhan, keupayaan bateri Samsung Galaxy S23 Ultra adalah sangat baik.

Namun harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza dan itu akan memberikan hasil yang berbeza. Untuk pengecasan, Samsung Galaxy S23 Ultra mengambil masa sekitar 80 minit untuk satu isian penuh, Namun, untuk pengecasan selama 30 minit, ia mampu mendapatkan sekitar 65% bateri. 

Tidak dinafikan yang teknologi pengecasan Samsung masih lagi sama dan sedikit perlahan berbanding pesaingnya. Namun, dengan jangka hayat bateri yang lebih panjang perkara tersebut mungkin boleh dilupakan untuk sementara waktu.

Kamera



Samsung Galaxy S23 Ultra merupakan peranti Galaxy pertama yang hadir dengan kamera 200 MP dengan sensor ISOCELL HP2. Samsung menyatakan yang kemampuan kamera pada Samsung Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik dari model sebelumnya.



Sepanjang percubaan kami, secara keseluruhan keupayaan kamera pada Samsung Galaxy S23 Ultra adalah sangat baik. Untuk gambar dengan cahaya yang cukup, imej yang dihasilkan sangat baik dengan warna yang dihasilkan vibrant dalam masa yang sama masih dapat mengekalkan tahap perincian imej tersebut.



Sementara untuk keadaan kurang cahaya, Samsung Galaxy S23 Ultra dilihat lebih cenderung untuk menghasilkan imej dengan dynamic range yang lebih tinggi dan pada sesetengah keadaan ia akan menghasilkan imej yang terlebih exposure. Namun begitu, hasil imej yang diberikan masih lagi baik dan juga cerah.

Terdapat juga pelbagai mod kamera yang dimuatkan seperti Expert RAW, Single Take, Nightography, Pro video dan lain-lain. Dari segi rakaman video, ia mampu menyokong rakaman sehingga 8K 30fps. Secara keseluruhan, keupayaan kamera pada Samsung Galaxy S23 sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Kesimpulan




Mungkin terlalu awal untuk menyatakan yang Samsung Galaxy S23 Ultra akan menjadi peranti terbaik untuk tahun ini. Namun, dari apa yang dibawakan oleh Samsung pada Samsung Galaxy S23 Ultra sememangnya menggambarkan perkara tersebut.


Samsung Galaxy S23 Ultra boleh dianggap sebagai peranti versatile dengan keupayaan kamera yang sangat baik, prestasi yang mantap dan juga fungsi yang pelbagai. Dengan tanda harga mencecah RM7199, apa yang kami boleh katakan apa yang ditawarkan adalah setanding dengan harganya.

ARTIKEL BERKAITAN