Close

5 peranti menarik yang diperkenalkan pada acara MWC 2023

Acara MWC telahpun melabuhkan tirainya. Buat yang tidak mengetahui, Mobile World Congress (MCW) adalah acara teknologi yang paling popular dan berpengaruh di dunia. Pada acara ini, terdapat pelbagai teknologi baharu dan peranti konsep yang menarik diperlihatkan.


OnePlus 45W Liquid Cooler



Kita mungkin telah melihat pelbagai jenis sistem penyejukkan yang telah ada pada hari ini. Namun, ini mungkin sistem penyejukkan yang paling unik pernah dilihat pada ketika ini. Dikenali sebagai OnePlus 45W Liquid Cooler, merupakan sistem penyejukan yang berasaskan semikonduktor dengan System Electric Thermo (TEC).



Perbezaan sistem penyejukan ini dari yang lain adalah, bahagian paling sejuk bukanlah pada klip sebaliknya, pada kotak bekalan kuasa 45W yang disambungkan dengan paip yang membekalkan cecair penyejukan.



Menurut OnePlus, sistem penyejukan ini mampu mengurangkan suhu sehingga 20ºC. Selain itu, sistem penyejukan ini juga boleh dilaras melalui butang kawalan yang terletak pada kotak bekalan kuasa 45W. OnePlus 45W Liquid Cooler ini boleh digunakan pada semua peranti tidak hanya terhad kepada peranti OnePlus sahaja.


Motorola Defy Satellite Link


Teknologi satelit pada telefon pintar kini dilihat semakin popular. Apple boleh dikatakan sebagai syarikat terawal yang membawakan teknologi tersebut pada peranti mereka. Teknologi satelit ini dilihat sangat berguna lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan.

Sedar akan kepentingan tersebut, Motorola telah mencipta Defy Satellite Link yang merupakan alat permesejan satelit. Ia membolehkan pengguna menghantar teks kecemasan apabila berada di luar isyarat rangkaian melalui telefon pintar.


Tidak seperti Apple yang menggunakan sistem satelit dari Globalstar. Motorola Defy Satelite Link menggunakan sistem satelit tunggal geosynchronous yang lebih luas dan mempunyai sambungan yang lebih baik. Menariknya, Defy Satelite Link boleh digunakan pada semua telefon pintar Android atau iPhone dan menyokong penarafan IP68.

Motorola Rollable Phone

Motorola sedia untuk memperlihatkan teknologi Rollable pada peranti mereka melalui Motorola Rizr. Yang mana, peranti ini menggunakan skrin yang boleh digulung ke atas dan juga ke bawah. Skrin ini boleh dipanjangkan sehingga 5-inci ke 6-inci dengan menekan butang.



Lebih menarik, skrin ini juga boleh dipanjangkan secara automatik apabila melakukan aktiviti tertentu seperti membuka e-mel atau menonton video. Selain itu, teknologi ini dapat memanfaatkan ruang skrin dengan lebih baik. Namun begitu, kita mungkin tidak akan dapat melihat teknologi ini digunakan dalam masa terdekat memandangkan teknologi ini masih lagi dalam bentuk konsep awal.

Huawei Watch GT Cyber

Tidak seperti jam tangan pintar biasa yang hanya boleh menukar tali sahaja. Huawei melalui Watch GT Cyber membolehkan pengguna untuk menukar keseluruhan bahagian luar jam tangan pintar. Ia membawa maksud, pengguna boleh menukar bingkai, tali, kerangka serta menambah extra personalisation.

Proses untuk menukar kesemua bahagian adalah sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk dibuka dan dipasang. Selain dari reka bentuk yang unik, jam tangan pintar ini turut mempunyai beberapa fungsi penjejakan seperti sistem penjejakan kecergasan, penjejakan tidur dan sebagainya.

Oppo Zero-power tag



Oppo Zero-Power Tag merupakan peranti penjejakan pintar seperti Apple AirTag dan seangkatannya. Tidak seperti Apple AirTag yang memerlukan bateri, Oppo Zero-Power Tag tidak menggunakan sebarang bateri sebaliknya menggunakan tenaga frekuensi radio dari kawasan sekitarnya untuk menghantar data lokasi.


Peranti penjejakan pintar dari Oppo ini hadir dengan saiz sebesar kad yang boleh diletakkan pada beg atau barangan peribadi lain. Namun begitu, peranti ini masih lagi dalam fasa prototaip. Kami menjangkakan akan lebih banyak peranti dengan sifar kuasa akan dihasilkan dari Oppo mahupun dari pengeluar lain tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN