Rekaan iPhone 15 Pro tertiris – Perubahan ketara pada butang fizikal - FUZZ.MY

Wednesday, March 22, 2023

Rekaan iPhone 15 Pro tertiris – Perubahan ketara pada butang fizikal

Sumber : Chenwen1987
Apple dijangka akan membawakan perubahan yang lebih ketara pada siri iPhone 15. Berikutan dari itu, pelbagai laporan mengenai siri iPhone 15 telahpun tertiris.


Terbaru, rekaan CAD yang didakwa sebagai iPhone 15 Pro telahpun tertiris yang memperlihatkan rekaan yang lebih terperinci. Rekaan ini dilihat seiring dengan laporan sebelum ini yang menyatakan iPhone 15 Pro akan hadir dengan butang jenis solid state.

Sumber : Chenwen1987
Imej tersebut turut memperlihatkan perubahan ketara pada rekaan butang fizikal iPhone 15 Pro. Yang mana, butang laras suara kini digabungkan menjadi satu bahagian (naik dan turun) dengan rekaan memanjang. Berbeza dari model-model sebelum ini yang hadir dengan dua butang berasingan (naik dan turun) untuk butang laras suara. 

Selain itu, butang silent/ring juga menerima perubahan pertama sejak iPhone dilancarkan, dijangka akan digantikan dengan butang yang boleh ditekan untuk fungsi silent/ring. Kedua-dua butang ini dilaporkan akan menggunakan teknologi solid state yang berasaskan sentuhan bersama tindak balas taptic engine seperti mana pada fungsi Touch ID pada iPhone 7.

Perubahan ketara pada butang fizikal ini dilaporkan akan hanya tersedia pada iPhone 15 Pro dan 15 Pro Max sahaja. Sementara, model asas iPhone 15 dan iPhone 15 Plus masih menggunakan rekaan dan butang yang sama seperti pada siri iPhone 14.