Close

Ulasan Samsung Galaxy A54 5G – Peranti kelas pertengahan premium yang penuh isi dan sensasi

Pada tahun ini, siri Samsung Galaxy A hanya ditawarkan dalam dua pilihan varian sahaja iaitu Samsung Galaxy A34 5G dan Galaxy A54 5G. Dan seperti kebiasaan, kedua-dua peranti ini tampli dengan sedikit perbezaan dari segi spesifikasi.


Tidak seperti model sebelumnya, Samsung Galaxy A54 5G pada kali ini membawakan spesifikasi, reka bentuk dan teknologi yang lebih baik dari sebelumnya. Samsung turut menjanjikan yang peranti kali ini tampil dengan pelbagai perkara menarik. Oleh yang demikian, Samsung Galaxy A54 5G wajar untuk diberikan perhatian lebih kepada pakej yang dibawakan oleh peranti tersebut.



Rekaan dan binaan



Pada Samsung Galaxy A54 5G, Samsung telah membawakan sedikit perubahan dari segi rekaan menjadikan peranti ini berbeza dan lebih menarik. Perubahan tersebut dapat dilihat pada bahagian belakang yang mana ia tampil dengan rekaan kamera “Floating Camera” yang menampak lebih minimal dan lebih kemas. Rekaan luaran yang dibawakan oleh Samsung juga dilihat lebih matang dan juga lebih kemas. Rekaan sisi yang sedikit bulat membantu untuk memberikan keselesaan ketika memegangnya.



Dari segi binaan, Samsung Galaxy A54 5G hadir dengan bingkai yang diperbuat dari plastik dengan kemasan glossy. Namun, apa yang menarik adalah pada bahagian hadapan dan belakang peranti ini ia dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5 dan turut mempunyai penarafan IP67. Pada hemat kami, tidak banyak pengeluar peranti kelas pertengahan yang menawarkan perlindungan Corning Gorilla Glass 5 dan penarafan IP67.

Secara keseluruhan, rekaan yang dibawakan pada Samsung Galaxy A54 5G adalah sangat kemas dan minimal. Biarpun, tanpa perubahan yang ketara dari segi rekaan. Namun, Samsung berjaya memberikan nafas baharu pada peranti ini.


Paparan



Terang dan jelas mungkin perkataan yang sesuai untuk mengambarkan mengenai paparan pada Samsung Galaxy A54 5G. Dilengkapi dengan skrin Super AMOLED bersaiz 6.4-inci FHD+ dengan paparan 120Hz. Yang mana, kebanyakan peranti setaraf masa lagi menawarkan paparan 90Hz sahaja. Selain itu, tahan kecerahan puncak kini lebih tinggi dengan 1000 nits memudahkan penggunaan di bawah matahari, tidak ketinggalan ia turut dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5.

Selain itu, paparan Samsung Galaxy A54 5G ini turut dimuatkan dengan teknologi Vision Booster yang mula diperkenalkan pada Samsung Galaxy S22. Dari segi penggunaan, paparan peranti ini adalah sangat baik, setiap sentuhan adalah sangat responsif dan juga tepat. lebih-lebih lagi sewaktu bermain permainan.


Biarpun rekaan bezel pada Samsung Galaxy A54 5G boleh dikatakan agak tebal untuk tahun 2023. Namun, pada penggunaan kami ia tiada sebarang masalah masih menawarkan kepuasan ketika menonton. Bagi anda yang gemar menonton Netflix pada telefon pintar, Galaxy A54 5G menyokong Widevine L1 sekaligus dapat menonton kandungan dalam resolusi HD.

Prestasi


Selain tampil dengan beberapa perubahan dari segi rekaan dan paparan, Samsung turut membawakan peningkatan prestasi pada Samsung Galaxy A54 5G. Peranti ini dikuasakan dengan cip yang lebih berkuasa berbanding pada model sebelumnya. Dijana dengan cip Exynos 1380 yang dibina dengan teknologi 5nm. Cip ini menawarkan peningkatan CPU sehingga 20% dan peningkatan GPU sehingga 26% berbanding pada Samsung Galaxy A53 5G.


Kemampuan prestasi pada Samsung Galaxy A54 5G boleh dikatakan sangat baik. Sepanjang penggunaan. semua aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan lancar, boleh dikatakan setanding dengan peranti premium.



Dari segi prestasi permainan terdapat perkara yang mengujakan. Untuk permainan Genshin Impact, Samsung Galaxy A54 5G berjaya menjalankan tugas dengan sangat baik. Permainan ini dapat dimainkan dengan lancar pada tetapan medium. Percubaan kami mendapati selepas 30 minit peranti terasa sedikit panas namun, prestasi masih lagi dalam paras sangat baik.

Kamera

Sebelum pergi lebih jauh mengenai keupayaan kamera Samsung Galaxy A54 5G. Ini adalah tetapan kamera untuk Samsung Galaxy A54 5G, menggunakan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 12MP ultra lebar + 5MP makro. Manakala swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 32MP.


Secara keseluruhan, kemampuan kamera Samsung Galaxy A54 5G boleh dikatakan sebagai baik. Imej yang dihasilkan adalah vibrant, terang dan tidak oversaturated sekiranya diambil pada keadaan cukup cahaya. Pada cahaya kurang, hasil imej yang diberikan tidak begitu lebih-lebih sekiranya menggunakan kamera ultralebar. Namun, untuk hasil yang lebih baik kami sarankan untuk menggunakan mod Nightography untuk mendapatkan imej yang terang, vibrant dan terperinci.



Selain itu, keupayaan autofokus pada peranti ini adalah sangat baik dan tepat pada kebanyakkan keadaan. Sekiranya anda gemar mengambil gambar secara landskap, kamera ini mampu memberikan hasil baik dan terperinci. Dari segi rakaman, kualiti video dihasilkan adalah cukup memuaskan dengan perincian dan warna yang dihasilkan sesuai untuk penggunaan biasa.


Kesimpulan



Samsung Galaxy A54 5G adalah salah satu peranti kelas pertengahan premium dengan kemampuan kelas perdana. Ia juga boleh dianggap sebagai satu pakej yang lengkap dengan prestasi yang pantas, kemampuan kamera yang baik,  paparan 120Hz, penarafan IP67 dan juga pengimbas cap jari di bawah skrin. Samsung turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang dengan 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan. Jika anda seorang yang mementingkan kemas kini yang panjang peranti ini patut ada dalam senarai untuk membeli.

ARTIKEL BERKAITAN