Close

4 perkara menarik mengenai Redmi Note 12 Pro 5G

Tidak seperti siri Redmi Note sebelum ini, siri Redmi Note 12 pada kali ini membawakan perubahan yang lebih ketara dan lebih menonjol dari model sebelumnya. Jika sebelum ini, siri Redmi Note hanya memfokuskan kepada satu atau dua perkara sahaja namun, pada kali ini ia hadir dengan lebih banyak perkara menarik.


Di Malaysia, siri Redmi Note 12 ditawarkan dalam lima pilihan varian iaitu Redmi Note 12, Redmi Note 12 5G, Redmi Note 12S, Redmi Note 12 Pro 5G dan Redmi Note 12 Pro+ 5G. Untuk kali ini, kami ingin berkongsi 4 perkara menarik mengenai Redmi Note 12 Pro 5G.


Rekaan


Perkara paling menarik mengenai Redmi Note 12 Pro 5G adalah rekaan. Sekali pandang, peranti ini kelihatan seakan-akan peranti premium. Tampil dengan rekaan yang lebih berkotak dengan sisi rata memberikan pengalaman yang lebih selesa ketika dipegang. Rekaan sisi peranti ini menggunakan kemasan jenis matte memberikan cengkaman yang lebih baik dari kemasan jenis glossy.


Biarpun, membawakan rekaan yang hampir sama seperti model sebelumnya, Namun, Redmi Note 12 Pro 5G kali ini hadir dengan rekaan dan rupa yang lebih minimal terutama sekali pada bahagian belakang. Rekaan kamera belakang yang menggunakan segi empat tepat memberikan nafas baharu dan tiada lagi perkataan yang tidak perlu ditulis pada bahagian kamera.


Selain dari rekaan, Redmi Note 12 Pro 5G ini juga agak nipis dan ringan dengan ketebalan sekitar 7.9mm dan berat 187gram. Apa yang menjadikan peranti ini nipis dan ringan adalah ia menggunakan bahan binaan dari plastik pada bingkai dan panel belakang. Menariknya, peranti itu turut menyokong penarafan kalis air dan debu IP53.


Skrin


Redmi Note 12 Pro 5G menggunakan skrin Flow AMOLED FHD+ bersaiz 6.67-inci dengan paparan 120Hz. Turut menyokong 100% warga gamut DCI-P3, HDR10+, Dolby Vision dan dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5. Xiaomi telah membawakan teknologi skrin baharu pada peranti ini, teknologi Flow AMOLED ini menawarkan ketahanan yang lebih baik daripada skrin AMOLED biasa.


Selain itu, Redmi Note 12 Pro 5G ini turut hadir dengan bingkai yang nipis, sekaligus dapat memberikan pengalaman penggunaan dan menonton yang lebih baik. Keupayaan skrin pada Redmi Note 12 Pro 5G ini sangat memuaskan dengan warna yang dihasilkan sangat baik dan terang. Tahap kecerahan peranti ini juga amat baik pada 1600 dengan kecerahan puncak pada 500 nits.


Bagi yang gemar menonton Netflix pada telefon pintar, Redmi Note 12 Pro 5G ini juga menyokong Widevine L1 sekaligus dapat menonton kandungan dalam resolusi HD. Secara keseluruhan, kemampuan skrin pada Redmi Note 12 Pro 5G adalah mengagumkan dan berada di dalam kelasnya yang tersendiri.


Spesifikasi


Redmi Note 12 Pro 5G dikuasakan dengan cip MediaTek Dimensity 1080 yang dibina dengan teknologi 6nm. Menggunakan konfigurasi lapan teras dengan 2x Cortex-A78 2.6Ghz dan 6x Cortex-A55 2.0Ghz. Dari percubaan ringkas kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi untuk penggunaan biasa. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar. Untuk permainan yang ringan, ia boleh dimainkan dengan sangat baik. 



Dari segi konfigurasi storan, Redmi Note 12 Pro 5G menggunakan 8GB RAM LPDDR4X dan storan dalaman sehingga 256GB UFS 2.2. Gabungan ini memberikan peningkatan pretasi yang berbeza dari model sebelumnya. Kemampuan prestasi yang dibawakan pada peranti ini boleh dikatakan sebagai sangat baik untuk kegunaan sehari-hari ataupun untuk bermain permainan.


Kamera



Selain rekaan, Redmi Note 12 Pro 5G turut tampil dengan kamera yang dipertingkat, yang mana ia kini hadir dengan sensor setaraf flagship IMX766 dan menyokong OIS. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 8MP ultra lebar + 2MP makroSementara untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 16MP. 




Xiaomi mendakwa, sensor baharu ini menawarkan kemampuan kamera malam yang lebih baik dan mampu menghasilkan imej seakan-akan kamera filem dengan mod secara terbinaKami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera Redmi Note 12 Pro 5G. 

ARTIKEL BERKAITAN