Close

BYD Atto 3 – Pengalaman pandu EV dari China yang berharga RM170K ke Pantai Timur

Baru-baru ini, kami berperluang untuk merasai pengalaman menggunakan EV BYD Atto 3. Peluang tersebut kami gunakan dengan melakukan roadtrip dari Selangor ke Terengganu untuk menilai beberapa perkara mengenai EV lebih-lebih lagi untuk perjalanan jarak jauh.

Model BYD Atto 3 yang kami gunakan adalah Extended Range, dijana dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan 204 PS dan 310 Nm tork dengan 0 ke 100 km/j hanya dalam 7.3 saat. Menggunakan bateri Blade EV dengan kapasiti 60.48 kWh yang mampu bergerak sejauh 480 km mengikut NEDC.
Memulakan perjalanan dengan bateri 100% yang mampu bergerak sejauh 480 km. Mod pemanduan yang digunakan adalah normal dengan kelajuan sekitar 100 ke 110 km/j. Untuk mod regenerative, kami menggunakan mod High untuk ketahanan bateri yang lebih lama.

Apa yang kami perasaan, apabila menggunakan mod regenerative, motor elektrik lebih menarik apabila pedal dilepaskan dan sebaliknya apabila dalam mod regenerative normal.
Perhentian pertama, kapasiti bateri turun kepada 88% dengan jarak 422 km. Pengurangan sebanyak 12% dengan jarak bergerak sekitar 58 km. Dengan gaya pemanduan bandar kadar penurunan kapasiti bateri boleh dikatakan agak baik. 

Perhentian kedua di Gambang, kadar bateri yang tinggal adalah sekitar 23% dengan jarak 111 km, penurunan sebanyak 65% dengan jarak bergerak sekitar 311 km. 
Kami mengecas di Gambang yang mengambil masa sekitar 55 minit dari 23% ke 100% dengan kos sekitar RM156.20. Harga pengecasan yang ditetapkan adalah 2.20/minit untuk pengecasan 90 kW.

Pada hemat kami, masa yang diambil ketika mengecas adalah terlalu lama dan kos yang dikenakan juga agak tinggi. Antara sebab utama masa pengecasan terlalu lama adalah tahap pengecasan yang berubah-ubah mengikut kepada peratusan bateri, bermula dari 80 kW menurun kepada 8 kW apabila bateri hampir mencapai ke 100%.

Namun, kebiasaan pengguna EV di Malaysia akan cas sehingga 80% atau 90% sahaja sudah mencukupi. Jika ingin cas hingga 100%, ia akan memakan masa lebih masa kerana kW pengecasan semakin perlahan dan kos cas juga mahal.
Perhentian terakhir sebelum sampai adalah Resort World Kijal, kadar bateri yang tinggal adalah sekitar 62% dengan jarak 298 km. Di Resort World Kijal terdapat stesen pengecas AC 22 kW, kami mengecas dari 62% ke 75% mengambil masa sekitar 1 Jam 24 minit dengan kadar pengecasan sekitar 4kW hingga 6 kW.

Untuk pengecasan, BYD Atto 3 menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 80 kW yang mampu mengecas dari 0 ke 80% hanya dalam 45 minit sahaja. 

Untuk perjalanan pulang dari Terengganu ke Selangor, kami hanya berhenti di satu lokasi sahaja iaitu Gambang. Setiba di Gambang, kadar bateri yang tinggal adalah sekitar 34% dengan jarak 184 km. 

Kami mengecas di Gambang yang mengambil masa sekitar 55 minit dari 34% ke 90% dengan kos sekitar RM61.20 (RM1.20 per minit). Kami akhiri roadtrip ke destinasi terakhir dengan kadar bateri 26% dengan jarak 122 km.
Berdasarkan pengalaman pemanduan, BYD Atto 3 ini menawarkan keselesaan yang sangat baik dengan kerusi yang empuk, kawalan yang baik, teknologi yang menarik dan suspensi yang mantap untuk sebuah SUV. 

Bercakap mengenai kos, jarak perjalanan dan juga lokasi pengecasan di Malaysia pada ketika ini ia agak rumit. Lebih-lebih lagi jika anda bercadang untuk pandu dalam jarak yang jauh.

Apa yang kami boleh katakan adalah kemajuan teknologi tidak seiring dengan kemudahan yang ditawarkan di Malaysia ketika ini. Infrastruktur pengecasan DC masih kurang dan perlu ke lokasi berlainan jika mahu cari pengecas DC yang bersesuaian. 

Yang mana, masih terdapat ruang yang boleh dibaiki dan ditambah baik untuk menjadikan penggunaan kenderaan elektrik semudah apa yang ditawarkan pada kenderaan biasa.


Walaubagaimanapun, ini adalah fasa awal yang perlu kita lalui untuk menuju kepada ekosistem EV yang lebih baik pada masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN