Poco F5 Pro disahkan hadir dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 - FUZZ.MY

Saturday, May 6, 2023

Poco F5 Pro disahkan hadir dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1



Poco telahpun menjadualkan acara pelancaran untuk siri Poco F5 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini. Pada acara tersebut, Poco akan mengumumkan dua varian iaitu Poco F5 dan Poco F5 Pro. 


Sebelum ini, Poco telahpun mendedahkan yang Poco F5 akan dijana dengan cip Snapdragon 7+ Gen 2. Kini giliran Poco F5 Pro, yang mana untuk varian ini ia akan dijana dengan cip yang lebih premium iaitu Snapdragon 8+ Gen 1.


Selain akan dijana cip lebih premium, Poco F5 Pro akan turut dilengkapi dengan skrin Flow AMOLED dengan resolusi WQHD+ bersama paparan 120Hz. Menggunakan skrin jenis rata dengan kamare swafoto tunggal jenis berlubang yang diletakkan di bahagian tengah.



Seterusnya, Poco F5 Pro akan menjadi peranti pertama dalam siri Poco hadir dengan sokongan pengecasan tanpa wayar 30W dan akan ditawarkan dengan konfigurasi storan sehingga 512GB.


Buat masa ini, Poco belum lagi mendedahkan spesifikasi penuh bagi kedua-dua peranti. Kita hanya akan mengetahui spesifikasi penuh pada acara pelancaran yang akan berlangsung tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.