Close

Volvo EX30 dilancarkan – SUV elektrik kompak yang berkuasa 422 hp dengan harga sekitar RM177K

Melalui satu acara yang berlangsung di Milan, Itali. Volvo secara rasmi melancarkan Volvo EX30 yang merupakan sebuah SUV elektrik paling kompak yang pernah dihasilkan oleh Volvo. Penawaran model ini dilihat sebagai salah satu alternatif kepada pengguna yang gemar kepada SUV yang kompak dengan harga yang lebih mampu milik.

Dari segi rekaan, EX30 ini membawakan elemen rekaan yang sama seperti EX90, dapat dilihat daripada rekaan lampu hadapan, lampu brek belakang yang disusun secara berasingan dan grill hadapan. Volvo menyatakan yang casis EX30 ini dibina dengan titik graviti yang lebih rendah untuk talaan yang lebih baik.

Untuk pasaran Eropah, Volvo EX30 mempunyai tiga pilihan trenkuasa elektrik, ketiga-tiga pilihan ini menawarkan kuasa dan jarak perjalanan yang berbeza. Untuk versi paling asas, ia hadir dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang mampu menghasilkan kuasa 268 hp dan 343 Nm. Dilengkapi dengan bateri Lithium iron phosphate (LFP)  yang berkapasiti 51 kWh yang mampu bergerak sejauh 345 km.

Pilihan kedua adalah Single Motor Extended Range, yang mampu menghasilkan kuasa 268 hp dan 343 Nm. Boleh bergerak sejauh 443 km dan menggunakan teknologi bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) yang berkapasiti 64 kWh.

Piihan ketiga yang paling berkuasa dijana dengan Twin Motor Performance dengan sistem pacuan empat roda yang mampu menghasilkan kuasa 422 hp dan 543 Nm. Boleh memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 3.6 saat. EX30 Twin Motor Performance menggunakan kapasiti bateri yang sama iaitu 64 kWh dan mampu bergerak sejauh 426 km.


Dari segi pengecasan, untuk bateri LFP ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 134 kW, manakala untuk bateri NCM ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 153 kW yang mampu mengecas dari 10% ke 80% hanya dalam masa 27 minit.


Untuk harga jualan, Volvo EX30 ini dijual pada harga sekitar 36,000 euro (RM177,297). Volvo turut melancarkan Volvo EX30 versi Cross Country yang akan mula dijual pada tahun hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN