Sony A6700 kini rasmi – Sensor 26MP dengan rakaman 4K 120fps - FUZZ.MY

Thursday, July 13, 2023

Sony A6700 kini rasmi – Sensor 26MP dengan rakaman 4K 120fps

 






Sony secara rasmi melancarkan kamera baharu iaitu Sony Alpha A6700 bagi menggantikan model sebelumnya. Melaluinya, ia hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi dan juga fungsi menarik.



Dari segi rekaan, Sony Alpha A6700 masih lagi mengekalkan rekaan seumpama A6000. Namun, ia dimuatkan dengan sensor dan spesifikasi yang lebih baik. Dimuatkan dengan skrin 3-inci sesentuh yang boleh dipusing untuk melakukan rakaman swavideo dengan lebih mudah. Menggunakan EVF OLED dengan 2.36 juta titik. Tubuh peranti ini menggunakan bahan binaan aloi magnesium dengan berat tanpa lensa hanya 500 gram.



Dilengkapi dengan cip pemproses imej Bionz XR yang dipadakan dengan sensor 26MP Exmor-R APS-C bersama sistem penstabilan 5 paksi IBIS. Kamera ini menggunakan sistem pemfokuskan PDAF dengan 759 titik. Dari segi rakaman, ia menyokong tetapan 4K 120fps, terdapat mod Cinetone untuk rakaman video HDR, HLG dan mod S-Log3.



Ciri lain yang turut dibawakan adalah seperti mod pemfokusan haiwan, kenderaan, manusia, wajah dan mata. Untuk rakaman gambar ia menyokong sehingga 11FPS. Untuk port sambungan, ia hadir dengan USB 3.2 Gen 1, HDMI mikro dan slot kad SD UHS-II.


Sony Alpha akan mula dijual bermula Ogos ini dengan harga jualan sekitar $1400 (RM6452) untuk body sahaja, $1500 (RM6913) dengan lensa 16-50mm dan $1800 (RM8296) dengan lensa 18-135mm. Untuk penawaran di Malaysia, buat masa ini tiada sebarang maklumat yang dikongsi oleh Sony Malaysia.


(Sumber)